31.5.10

Kenali Firqah Bathil : Qadariah

Pengenalan

Mereka adalah golongan yang menyatakan perbuatan itu daripada hamba bukannya daripada Allah. Fahaman ini muncul apabila mereka menyeleweng hadis Nabi Muhammad yang berpesan supaya jangan terlalu banyak membicarakan mengenai qada’ dan qadar sehingga dipengaruhi oleh syaitan. Apa yang dipesan oleh Nabi Muhammad itu benar. Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, sebahagian kecil umat Islam membincangkan perkara itu lalu mereka dipengaruhi oleh anasir-anasir bukan Islam. Faktor lain yang mempengaruhi pemikiran umat Islam adalah hasil percampuran umat Islam dengan umat lain dan galakan menterjemahkan buku-buku asing tanpa batasan.


Menurut para sarjana sejarah Islam, antara orang pertama yang menimbulkan fahaman Qadariah adalah:

Ma’abad al- Juhani

Al-Zahabi menyebut di dalam bukunya Mizan al-Iktidal, pada peringkat awal, Ma’abad adalah sarjana tabiin yang dipercayai. Namun, dia membawa ajaran yang terpesong kerana menjadi orang yang pertama menyeleweng mengenai qadar.


Ghilan al-Dimasyqi

Dia mengikut fahaman ini dan meneruskan penyebarannya selepas Ma’abad iaitu pada zaman Umar bin Abdul Aziz. Mendengar fahaman Ghilan, kalifah Umar memanggilnya supaya berdebat dengan Imam al-Auza’ i. Akhirnya dia menyerah kalah dan berkata kepada khalifah, “Wahai Amirul Mukminin, saya datang dalam keadaan sesat lalu kamu menunjukkan kepada saya jalan yang benar. Saya datang dalam keadaan jahil lalu kamu mengajar saya, demi Allah saya tidak mahu bercakap lagi perkara itu.”

Namun, selepas khalifah Umar meninggal dunia, dia kembali semula menyebarkan ajarannya. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memanggilnya supaya berdebat dengan Imam al-Auza’i. Kali yang kedua dia menyerah kalah. Walau bagaimanapun, dia berdegil menyebarkan ajarannya. Dengan berani dia berkata, “Qadar baik dan jahat itu daripada hamba.” Akhirnya, khalifah Hisyam memerintah supaya dia ditangkap dan dijatuhkan hukuman bunuh.

Fahaman ini tidak mati dengan matinya Ghilan. Ia masih terus disebarkan di tengah-tengah masyarakat Islam dan berkembang bebas.

Ibnu Nabatat menyebut dalam bukunya Syarah al-Ubun, “Orang yang pertama bercakap dengan fahaman Qadariah adalah orang Nasrani yang memeluk agama Islam dari negeri Iraq. Kemudian dia murtad (keluar Islam) dan kembali pada agama Nasrani.


Golongan Qadariah

Fahaman Qadariah berpecah kepada dua golongan, mereka adalah:
Al-Khabitiah:

Mereka adalah pengikut Ahmad bin Khabit. Pada mulanya dia adalah pengikut fahaman Muktazilah sebelum beralih kepada fahaman Qadariah. Fahamannya melampau sehingga membawa fahaman tansukh (berpindah roh) dan bertuhankan Nabi Isa. Antara ajarannya adalah:

Menyatakan alam ini ada dua pencipta. Pertama adalah qadim, iaitu Allah dan yang kedua adalah makhluk, iaitu Nabi Isa. Alasannya Nabi Isa digelar Rahmatullah. Pendapat ini juga diikut oleh Fadhlu al-Hadisi.

Mereka juga sependapat dengan Fadlu al-Hadisi yang menyatakan maksud Nabi Isa adalah anak Allah bukan bermaksud beliau diperanakkan. Nabi Isa juga akan menghitung manusia pada hari kiamat nanti, dia datang dengan diiringi oleh para malaikat.

Setiap jenis haiwan itu adalah satu umat dan setiap umat itu ada rasul masing-masing dari kalangan jenisnya.

Menganut fahaman tanasukh iaitu berpindahnya ruh kepada jasad yang lain. Ia adalah ajaran yang berasal daripada agama Hindu, Greek dan kemudian mempengaruhi agama Kristian.

Apabila mereka menganut dan berpegang dengan fahaman yang disebut di atas maka para sarjana Islam menghukumkan mereka keluar daripada agama Islam.


Al-Hamariah:

Golongan ini pada mulanya menjadi pengikut Jaafar as-Sadiq semasa al-Hasan yang menjadi salah seorang imam mazhab Imamiah masih hidup. Tidak lama kemudian mereka meninggalkan al-Hasan dengan menyatakan, “Kami menguji Hasan dan kami dapati dia tidak mempunyai ilmu. Kami mengikut Hasan tanpa pengetahuan dan makrifah. Oleh itu maka kelayakannya menjadi imam terbatal.” Seterusnya mereka menganut fahaman Qadariah dengan menafikan qadak dengan qadar daripada Allah. Selain itu, mereka juga menganut beberapa fahaman yang lain. Antaranya adalah:

Mereka mengambil fahaman Abad bin Sulaiman al-Damari yang berkata, “Golongan yang Allah laknat menjadi kera dan babi terus kufur selepas berlakunya kejadian itu.”

Mengambil fahaman al-Ja’d bin Darham yang menyatakan berfikir itu mewajibkan makrifat. Mereka beralasan makrifat itu adalah perbuatan yang tiada pembuatnya.

Menyatakan manusia itu boleh menciptakan haiwan. Caranya adalah mengambil daging kemudian membiarkannya di tengah cahaya matahari atau ditanam kedalam tanah. Apabila daging itu menjadi ulat, mereka mendakwa mereka yang menciptanya.
 
 
TG Haji Hadi Awang
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
 
Kuliyah Jumaat 18 Mei 2007

Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

Sumber : http://mazhab.sementoji.net/v1/?p=37

No comments: