19.12.09

"Enta...kembalilah ke Pangkal Jalan..."

Aku seakan tidak mengerti dengan masyarakat kini. Agama difahami dan dihadami dengan bentuk yang jelik sekali. Mana-mana dalil al-Qur'an dan Sunnah yang tidak menepati jiwa ditolak ke tepi. Secara langsung atau tidak. Agama diletak di bawah 'adat dan kebiasaan'. Masyarakat kita terlampau kuat berpegang kepada adat-adat kebiasaan sehinggakan mana-mana pihak yang menentang amalan ini akan digelar 'Wahabbi'.

Kelakar!

Hari itu Malaysia digegarkan dengan kisah sejadah bersolat. Aku tertanya-tanya juga bagaimanakan 'caranya' sejadah bersolat itu. Fikiranku mungkinkan secara tiba-tiba sejadah itu mengangkat takbir , kemudian disusuli dengan rukun-rukun solat yang lain tanpa ada mana-mana pihak menggerakkannya (lebih kurang Asimo juga). Mungkinkah juga tiba-tiab sejadah itu mengeluarkan 'suara' takbir yang jelas disusuli kumat-kumit zikir Fatimah. Pelik! Gambar-gambar yang dirakamkan itu adalah statik; tiada mana-mana pihak menyatakan kejadian sepertimana terkaanku itu tadi. Pelikku bukan kerana sejadah solat, tetapi pelik kenapalah masyarakat kita mudah percaya dengan benda-benda 'pelik' seperti ini - khurafat namanya!

Tergelak Muniandy dan Ah Chong di kedai motor di Kota Bharu.

Kebiasaannya kerana menganggap sebarang kejadian 'pelik' itu sebahagian daripada kepercayaan agama. Kata-kata 'ustaz' dan 'ustazah' diambil kira untuk mengesahkan 'kehebatan' Allah s.w.t. itu. (peristiwa ini disahkan karut dan buatan budak-budak kemudiannya).

Nah, saudara renungilah ayat Allah dalam surah al-Jatsiyah, ayat 1 hingga 6:
  1. Haa Miim (Allah yang mengetahui maksudnya).
  2. Kitab Al-Qur'an ini diwahyukan oleh Allah Yang Maha Perkasa dan Bijaksana.
  3. Sesungguhnya pada semua petala langit dan bumi, terdapat dalil-dalil kekuasaan Allah oleh orang-orang yang beriman (Lihat pada keterangan ayat 5).
  4. Juga pada penciptaan dirimu dan penciptaan segala makhluk bergerak yang berkeliaran di permukaan bumi ini, terdapat pula dalil-dalil kekuasaan Allah untuk kaum yang meyakin(Lihat pada keterangan ayat 5).
  5. Lagi pula pada pertentangan malam dengan siang, pada hujan yang diturunkan Tuhan dari awan, lalu dihidupkan-Nya dengan hujan itu tanah yang sudah mati, dan pada perkisaran angin terdapat pula dalil-dalil kekuasaan Allah untuk kaum yang memikirkan. (Secara berurutan Tuhan menampilkan pada ayat 3,4 dan 5 tentang penciptaan langit dan bumi, penciptaan manusia dan semua makhluk yang bergerak, serta pergantian malam dan siang, hikmat turunnya hujan, perkisaran angin dan sebagainya. Jika manusia dapat memikirkan itu semuanya, tentu dia akan beriman kepada ke-Esa-an dan Kekuasaan Penciptanya, yaitu Allah. Dan manakala ia dapat meneliti atau membaca hasil penelitian tentang keadaan setiap benda sejak dari dirinya sendiri sampai kepada binatang yang bergerak di permukaan bumi ini apapun jenisnya, maka keimanannya tentu akan bertambah dengan keyakinan. Setiap kali ia meneliti sesuatu maka pengertian dan pemikirannya akan membawanya ke arah yang lebih maju lagi untuk memikirkan, meneliti penciptaan alam semesta. Bertambah luas pemikiran dan penelitiannya bertambah banyak manfaat yang diperolehnya dari alam itu, sesuai dengan kemampuan daya pikirnya. Kalau sudah sampai demikian, maka seluruh kenyataan itu seolah-olah berkata: Kami suruh kamu memikirkan dan meneliti hikmat-hikmat yang terkandung dalam penciptaan segalanya ini, tiada lain supaya kamu beriman kepada Penciptanya).
  6. Inilah dalil-dalil tentang kekuasaan Allah yang Kami bacakan kepadamu Muhammad, yang berisikan kebenaran itu. (Nah, dengan keterangan macam apa lagi, sesudah dalil-dalil tentang kekuasaan Allah yang dikemukakan kepada Rasul-Nya itu yang kiranya dapat mereka percayai?).
Kita tidak perlukan bomoh untuk menyatakan kehebatan Allah, kita tidak perlukan kata-kata seorang yang jahil tentang hakikat Islam untuk mengajar kita hakikat Islam. Islam bukanlah agama aneh yang memerlukan bantuan para 'penglipur lara' untuk mempromosikannya. Cukuplah sekadar kita merujuk al-Qur'an dan Sunnah dalam menerangkan hakikat Islam yang sebenar berpandukan ulama'-ulama' yang muktabar dan diiktiraf oleh ulama' di dunia.Seluruh maya ini merupakan lambang kekuasaan Allah s.w.t., bukanlah sekadar perkara yang dianggap 'pelik' dan 'aneh' oleh sesetengah goloingan masyarakat.


Kemudian, adat resam seperti bersanding dan menghias pengantin. Mungkin pengalaman menghadiri salah sebuah kenduri saudaraku tidak seberapa lama dahulu memberi serba sedikit terjahan di benakku bahawa masyarakat kita kian jauh daripada tuntunan Islam. Mungkin jahil, namun aku lebih cenderung menyatakan bahawa masyarakat kita amat pekat dengan adat resam, walau pun adat itu bertentangan dengan syara'.

Pasangan ustaz-ustazah itu telah mendirikan pelamin untuk dipertontonkan pengantin perempuan kepada khalayak umum. Selain itu mekap pengantin perempuan yang tebal membangkitkan satu istilah dalam fikiranku iaitu 'tabaruj'. Pelik! Walau pun peristiwa itu sudah agak lama berlaku, sehingga sekarang aku sukar untuk memahami segala perkara yang berlaku ini.

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah an –Nur ayat 31 yang bermaksud: 

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan jangalah mereka menghentakkan kaki untuk diektahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung”

Menurut Ibnu Katsir, tabaruj berarti wanita yang keluar rumah dan berjalan/mempamerkan diri di hadapan laki-laki (tabaruj jahiliah). Menurut Bukhari, tabaruj adalah tindakan seorang wanita yang menampakkan kecantikannya kepada orang lain, dan menurut Muqatil tabaruj adalah wanita yang melepaskan jilbabnya, memperlihatkan kalung dan gelangnya. 

Aku berbaik sangka dengan mereka berdua dengan segala ilmu di dada. Mungkin kerana kehendak orang tua, maka majlis itu agak kurang dari sudut menepati kehendak Islam.Namun,suka kuingatkan bahawa tidak sepatutnya adat mempengaruhi hujjah Qur'an dan Sunnah. Bahkan, sepatutnya hujjah Qur'an dan Sunnahlah yang WAJIB mempengaruhi adat masyarakat. 

Sepertimana adat masyarakat Arab Jahiliah meraikan tetamu yang tidak bertentangan dengan nas, maka kita boleh dan Sunnah ikuti. Adat tilikan nasib menggunakan anak panah dan perkahwinan selepas penzinaan yang diamalkan oleh masyarakat Arab Jahiliah yang bertentangan dengan Islam wajib kita tolak.

Bab persandingan dan hiasan pengantin masyarakat Melayu pun sepatutnya macam itu.

Teringat pula kisah seorang 'ustaz' menceritakan tentang fadilat-fadilat solat sunah Tarawih dan puasa Rejab. Aku dulu fahami dengan rasa 'takjub' atas 'kebesaran' fadilat yang ditawarkan. Tidak masuk akal! Kini kufahami hadith-hadith ini dikenali sebagai hadith maudhu' atau hadith palsu.
Sedangkan Nabi s.a.w. telah bersabda dalam satu hadith


“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka) Hadith ini adalah mutawatir (lihat: Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s. 239, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)


Ada seorang teman yang menyatakan bahawa hadith dhaif boleh dipakai. Ya, hadith dhaif boleh dipakai, dibolehkan oleh sesetengah ulama' dalam situasi-situasi tertentu.

Sebagian ulama ada yang membolehkan menggunakan hadits dhaif untuk fadhailul a’mal (keutamaan amal). Tentang pemakaiannya untuk dijadikan dalil, terdapat perbezaan di antara Imam-imam Mujtahid, iaitu:


1. Dalam madzhab syafi’I Hadits dha’if tidak dipakai untuk dalil bagi penegak hukum, tetapi dipakai untuk dalil bagi “ fadhailul a’mal”. Fadhailul A’mal maksudnya ialah amal ibadat yang sunat-sunat, yang tidak bersangkut dengan orang lain, seperti dzikir, doa, tasbih, wirid dan lain- lain.Hadits Mursal tidak dipakai juga bagi penegak hukum dalam madzhab Syafi’e kerana Hadits Mursal juga Hadits dha’if. Tetapi dikecualikan mursalnya seorang Thabi’in bernama Said Ibnul Musayyab.
2. Dalam madzhab Hambali lebih longgar. Hadits dha’if bukan saja dipakai dalam Fadhailul A’mal, tetapi juga bagi penegak hukum, dengan syarat dha’ifnya itu tidak keterlaluan.
3. Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad memakai Hadits yang dha’if kerana Mursal, baik untuk Fadhailul A’mal mahupun bagi penegak hukum.(Ustaz Azhar Idrus)



Aku menyatakan kalau hadith ini dhaif, kalau hadith ini hadith palsu? Dan sememangnya hadith ini hadith palsu. Menyebarkan hadith palsu tanpa mengemukakan hakikat kepalsuannya samalah ertinya berdusta atas nama Nabi Muhammad s.a.w.


Maka, aku  terus tersenyum. Hakikat umat Islam kini sangat pahit untuk kubicarakan sedangkan perjalanan hidupku masih jauh dalam berhadapan dengan masyarakat. Aku yang serba dhaif ini sekadar berbicara menyatakan bahawa perlunya satu pendekatan menyeluruh dari semua pihak terutamanya yang berpendidikan agama supaya kita dapat sama-sama mengembeling tenaga menyedarkan masyarakat peri pentingnya mengamalkan agama berpandukan tuntunan daripada Allah s.w.t. melalui Nabi Muhammad s.a.w



No comments: