26.3.10

Luahan Seorang Sang Murabbi



Salam. Tugasan untuk mendidik masyarakat bermula dari dalam diri kita sendiri. Sangat mustahil untuk kita memberi bimbingan kepada orang lain tika kita sebenarnya lebih 'memerlukan' bimbingan. Ujian Allah terhadap diriku berupa permasalahan akademik kadang-kadang sangat merencatkan semangatku. Tatkala aku terasa keseorangan melayani perasaan gundah ini, hati kecilku pasti berbicara "Engkau tiada jalan lagi kecuali melalui jalan ini,".

Ummah yang semankin tenat memberi serba sedikit motivasi terhadap diriku dalam menguatkan jiwa, teguh hadapi dugaan dalam hidup. Antara dugaan yang paing berat yang kualami sehingga ke hari ini ialah dugaan ukhuwwah. Inilah dugaan yang paling berat kualami sehingga menjadikan aku kadang-kadang menjadi tawar untuk meneruskan perjalanan dalam jalan dakwah yang kulalui sekarang.

"Jemaah bathil, jemaah yang tidak mengikut akhlak nabi s.a.w. dan para sahabat dalam bermuamalat dan gerakerja dalam Islam," itulah lawan bagi prinsip asas jemaah Muslimin yang diajar oleh Nabi s.a.w. yang kupelajari melalui kuliah ahli-ahli hadith - Maulana Asri, dan Maulana Sha'ari. Kadang-kadang ciri-ciri zaman sahabat yang unik ini seakan menarikku untuk keluar daripada jemaah Islam ini untuk 'bergabung' dengan jemaah Muslim - perkumpulan masyarakat Muslim yang tiada ideologi dan pendoktrinan kecuali penghayatan yang utuh terhadap al-Qur'an dan Sunnah Nabi s.a.w.

Namun, hati kecilku berbicara "Andai ini jalan yang boleh memudahkan gerak kerja dakwah aku sebagai satu sistem yang dicanangkan oleh para ulama' berdasarkan tuntunan al-Qur'an dan Sunnah, buat apa aku ragui lagi jalan ini?!," bisikku menghiburkan hatiku.

Dugaan ini sangat menyusahkan diriku.

Namun, aku percaya amalan-amalan fardhi (individu) mempengaruhi akhlak kita dalam seluruh gerakerja kita dalam berjemaah.

Segala kelemahan dan kesilapan yang lalu aku tadah kedua-dua jari-jemariku untuk menyatakan aku bersedia berubah demi kebaikan Islam. Jadikanlah jemaah sebagai wasilah dakwah kita, dan bukan sebagai matlamat kita.

Aku percaya keikhlasan dalam perjuangan merupakan jawapan bagi kesemua permasalahan yang biasanya berlaku dalam sesebuah badan yang ingin memperjuangkan Islam.

Selamat berjuang!

24.3.10

Hari Ketiga Praktikum

Hari ini merupakan hari ketiga praktikumku. Sekarang aku berada di Sem 5 PISMP, 2 tahun lagi masa untuk benar-benar merasai kehidupan sebagai seorang guru.

Aku dihantar ke S.K. Methodist (ACS), Ipoh, sekolah yang terletak berhampiran Medan Kidd, di tengah-tengah pusat bandaraya Ipoh, Perak.

Kesemua murid sekolah ini adalah lelaki; dengan kehadiran 30% murid berbangsa Melayu, 30% murid berbangsa Cina dan 40% lagi berbangsa India. Pelik bukan? Murid India mendominasi sekolah ini.

Komposisi kaum bagi guru sekolah ini juga agak mengejutkan; 60 % daripada guru sekolah ini adalah Melayu  Islam dan selebihnya bagi kaum Cina, India dan Sikh.

Hari ini jadual waktu pengajaranku bermula pada pukul 7.30 pagi dan berakhir pada pukul 8.30 pagi. Kelas 4 Mercury - kelas kedua yang terkenal dengan kenakalan murid-muridnya.

Seusai memberi salam dan meminta murid mengeluarkan tugasan yang telah aku bagi semalam, ada daam kalangan murid-murid yang tidak menjawabnya - 2 orang. Mereka mengakui kesalahan mereka.
 Aku sempat memberi pengajaran kepada mereka berupa 'muka garangku' dan moga Allah berkati pengajaranku pada hari ini dan kemudian.

Baru 10 minit sesi pengajaran bermula, datang seorang guru yang tidak sempat untukku takrufi memanggilku keluar. Dia minta aku membawa murid-muridku ini ke padang untuk sesi sukantara.

Istilah sukantara menjadi persoalan beberapa orang murid-muridku. Mereka agak gembira dapat ke padang dan aku membawa mereka setelah mengajar beberapa aspek disiplin kepada mereka setelah diminta beratur untuk ke tempat lain

Di padang, acara sukantara bagi hari ini ialah lompat tinggi dan lompat jauh. Aku sempat menjadi pemantau bagi acara lompat tinggi. Pelbagai ragam lompatan yang dapat kuperhatikan semasa acara itu berlangsung. Paling banyak lagak orang 'bunuh diri' - merempuh secara berhadapan kayu lompat tinggi.tersebut, gaya superman dan kungfu pun ada (merempuh kayu menggunakan sebelah kaki) sehinggakan kayu (aluminum) yang diguna pakai menjadi bengkok. Ada juga di antara murid yang tak sempat melompat disebabkan terjatuh kerana tanah licin. Lagi lucu apabila ada di kalangan mereka yang 'melompat' dari bawah kayu. Sungguh menarik : )


Walau bagaimana pun, aku belajar banyak perkara daripada sesi kali ini. Pengalaman berhadapan dengan murid yang sebenar merupakan satu pengalaman yang sangat berharga. Selamat berjuang!

20.3.10

Penjelasan Terhadap Tohmahan Zamihan Md Zin Al-Ghari Ke Atas Pegangan Ahlus Sunnah Dan Para Tokohnya


Kata Pengantar
Oleh:
Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim
(Panel Akidah JAKIM)


Mentohmah orang lain di depan khalayak ramai dengan tidak memberi peluang kepada yang ditohmah untuk menjawabnya adalah termasuk dalam suatu bentuk kezaliman. Perkara ini lebih memalukan lagi jika ia dilakukan oleh seorang yang bergelar ustaz. 

Bila ada orang menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim sebagai mujassimah dan musyabbihah (Allah itu berbadan dan menyerupai makhluk), terus terlintas di hati saya pertanyaan: "Adakah Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim itu tidak beriman dengan ayat:

Maksudnya: "Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat, Sifat, dan Pentadbiran) Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat"[1].

Jika Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim beriman dengan ayat ini, maka berdosa besarlah orang yang menuduh mereka berdua sebagai mujassimah dan musyabbihah, kerana kepercayaan seperti itu adalah kepercayaan orang bukan Islam. Sedangkan Ibn Taimiyyah sendiri telah menulis sebuah kitab khusus berjudul Iqtida' As-Sirat Al-Mustaqim Fi Mukhalafat Ashab Al-Jahim untuk menjelaskan kewajipan berbeza dengan golongan bukan Islam dalam semua perkara usul dan furu'.

Wahhabiyyah memang sudah lama menjadi momokan di kalangan segelintir orang di negara ini. Sekadar memuntahkan kata-kata dalam majlis ceramah untuk memomok dan menuduh orang lain sebagai sesat tidaklah memada, silalah tulis buku atau debat terbuka tanpa menghadkan masa. Iaitu debat cara Islam yang dikenali dengan adab al-bahth wa al-munazarah.
Pada hemat saya, perkembangan ilmu Akidah Islam terbahagi kepada tiga peringkat:

Pertama: Zaman murni, iaitu zaman Sahabat RA, Tabi'in dan Tabi' At-Tabi'in. Mereka berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta Ijma'. Mereka dikenali dengan nama Salaf (Salaf Zamani).

Kedua: Zaman selepas Tabi' At-Tabi'in yang menyaksikan pertambahan krisis politik dalaman dan terjemahan karya-karya asing ke dalam bahasa Arab, termasuklah karya-karya yang berkaitan dengan penghayatan agama dan yang mendewakan akal sebagai lebih tinggi mutunya daripada wahyu. Berdasarkan tiga faktor asas yang berlaku di zaman kedua ini, maka lahirlah pelbagai aliran, mazhab dan puak (firaq) yang terus-menerus berpecah sehingga kini. Pengaruh daripada zaman kedua ini menyebabkan Islam mengalami `celupan asing' yang amat tenat kerana menelan jangka zaman yang begitu lama. Ada golongan yang sabar dan berlapang dada cuba mencari jalan penyelesaiannya dan mereka dikenali sebagai mujaddid.

Ketiga: Zaman timbulnya semangat untuk mengembalikan kemurnian penghayatan Islam seperti di zaman pertama. Semangat ini muncul di kalangan mereka yang melihat tidak ada jalan penyelesaian selain kembali semula kepada pegangan di zaman pertama. Mereka yang mencetuskan semangat ini dikenali sebagai Salafiyyah (Salaf Manhaji), maka lahirlah pelbagai tulisan yang menyeru umat Islam agar kembali kepada manhaj salaf, antaranya sebuah buku yang berjudul Wujub Ad-Da'wah Ila Al-Kitab Wa As-Sunnah Bi Fahmi Salaf Al-Ummah Wa Minhaj Jama'ah At-Tabligh Fi Zalik.

Buku tulisan saudara Dr. Azwira Abdul Aziz yang berjudul Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar?: Penjelasan Terhadap Tohmahan Zamihan Mat Zin Al-Ghari Ke Atas Pegangan Ahli Sunnah Dan Para Tokohnya (klik di sini), adalah mencerminkan gejala zaman ketiga ini. Buku ini bertujuan untuk menjelaskan sebahagian daripada tohmahan yang dilontarkan ke atas Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan para pendukung sunnah yang lain. Kepada yang sedar diharap berlapang dada, banyak bersabar dan bertoleransi.


Yang benar
Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim
Jabatan Usuludin & Falsafah
Universiti Kebangsaan Malaysia.