9.1.10



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dari Unit Penyiasatan merakam gambar beberapa bahagian Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic di Desa Melawati, Hulu Klang yang terbakar kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.


Tindakan melampau bakar gereja jejas keharmonian: PM

PUTRAJAYA: Percubaan membakar tiga gereja di ibu negara semalam dikutuk keras oleh pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkannya sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Berikutan itu, beliau meminta rakyat bertenang dan tidak mengambil tindakan yang melampaui batas, sebaliknya diselesaikan mengikut saluran sesuai dengan undang-undang.

"Saya mengutuk tindakan mereka kerana ini akan menghancurkan keharmonian negara dan kepelbagaian agama sebagai amalan hidup yang hormat-menghormati antara satu sama lain yang tidak boleh digugat oleh sesiapa," katanya semalam.

Dalam kejadian itu, tiga gereja dilempar bom api, dipercayai ada kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald-The Weekly Catholic. Kejadian pertama membabitkan Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic di Taman Melawati, pada jam 12 tengah malam, disusuli Gereja Assumption Assunta, Petaling Jaya (jam 4 pagi) dan Gereja Chappel, Damansara (jam 8 pagi).

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kebakaran di Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic hanya menyebabkan kemusnahan perabot dan buku. Bom api yang dilempar di dua lagi gereja tidak meletup.


Perdana Menteri juga sudah mengarahkan polis meningkatkan kawalan di semua rumah ibadat di seluruh negara dan memberi jaminan kerajaan akan mengambil segala tindakan perlu bagi mencegah perbuatan berkenaan.

Najib secara tegas menolak andaian seorang wartawan sebuah laman portal berita kononnya Umno cuba menimbulkan ketegangan selepas keputusan mahkamah membenarkan perkataan Allah digunakan majalah itu.

"Jangan menuding jari kepada Umno atau sesiapa juga... kita sentiasa bertanggungjawab. Jangan kata serangan ini didalangi oleh Umno. Anda baru saja membuat kenyataan yang cabul. Anda bermaksud begitu... tolong hentikan," katanya.

Menjawab soalan, Najib berkata beliau meminta polis berwaspada mengenai kemungkinan berlaku tindak balas atau ketegangan dan mahu supaya tidak ada pihak yang melanggar undang-undang dan mencegahnya sehingga akar umbi.
Sementara itu, dalam laman web 1Malaysia, Najib berkata mereka yang bertanggung jawab dalam insiden itu akan dihadapkan ke mahkamah.

"Kejadian yang cuba memecah belah, tidak mewakili Malaysia atau agama Islam. Mereka tidak mewakili keluarga kita dan masyarakat kita atau usaha yang sedang dilakukan ke arah mengukuhkan gagasan 1Malaysia," katanya.

Perdana Menteri menegaskan insiden keganasan yang digerakkan oleh perbezaan politik, sosial atau agama adalah ancaman kepada kestabilan dan keharmonian negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pula berkata siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian, namun ada kemungkinan ia berpunca daripada tidak rasa puas hati keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah itu.

Beliau berkata, berdasarkan modus operandi, ia tidak dirancang rapi dan yang melakukannya adalah lelaki bermotosikal yang mungkin terlalu emosional sehingga mendorongnya bertindak terburu-buru.

"Ada kemungkinan tiga kejadian ini membabitkan suspek berlainan dan usaha dijalankan bagi mengenal pasti identiti mereka berdasarkan keterangan beberapa saksi, termasuk kakitangan dan pengawal keselamatan gereja terbabit.

"Difahamkan, ada kakitangan gereja menerima panggilan ugutan daripada seorang individu pada jam 6 petang kelmarin yang memberi amaran berjaga-jaga. Kita percaya ugutan itu ada kaitan dengan kejadian ini," katanya.

No comments: