22.1.10

Kepelbagaian Jemaah Islam di Kampus : Perlu Lebih Keterbukaan (Bahagian 1)

"Akh, depa (mereka) ini bukanlah dari jemaah kita..." kata seorang teman satu jemaah, "Jemaah kita di IPT ini tidak kuat, sangat menduka citakan..." , "Jemaah sekian sekian kuat di IPT kami, payah dakwah nak jalan...." dan sebagainya.

Ungkapan-ungkapan seperti ini seringkali berlegar-legar dalam kalangan masyarakat penggerak dakwah Islam di Malaysia terutamanya yang berada kampus-kampus institusi pengajian tinggi di Malaysia.

"Jemaah" yang dimaksudkan di sini ialah "Jemaah Islam". Kehadiran pelbagai gerakan Islam atau pun jemaah Islam di dunia ini dilihat dari satu sudut merupakan satu alternatif terhadap pengembalian masyarakat Islam kepada Islam.

Saya tidak nampak di manakah relevennya ungkapan ini, namun mungkin terdapat beberapa perkara yang wajar kita teliti dan kupas secara berhati-hati agar isu ini tidak menjadi satu faktor pemecah dalam kalangan masyarakat mereka yang mendogmakan diri mereka sebagai aktivis dakwah.



Dan, terdapat juga slogan popular yng dalung-laungkan oleh semua jemaah iaitu ingin mengembalikan kekhalifahan dalam masyarakat Islam.

Keterlibatan masyarakat Islam dalam jemaah-jemaah ini membangkitkan 'semangat beragama' dalam kehidupan seseorang muslim. Mereka secara langsung atau tidak langsung akan 'terikat' dengan sistem pentarbiahan (manhaj tarbiah) yang digariskan oleh jemaah-jemaah Islam tersebut yang terhasil daripada penghayatan terhadap al-Qur'an dan as-Sunnah.

Mereka akan sentiasa 'dperhati' dari sudut amalan seharian pada masa yang sama akan diberi pengisian yang berkala bersesuaian dengan tahap-tahap "kefahaman" mereka tentang Islam.

Kehadiran beberapa jemaah Islam yang bersifat 'sejagat' dan monumental seperti Ikhwanul Muslimin (diasaskan di Mesir), Jami'at e-Islami (diasaskan di Pakistan - India), Hizbut-Tahrir (diasaskan di Palestin) , Jemaah Tabligh (diasaskan di India), Jemaah al-Ahbash (diasaskan di Ethopia), malah gerakan tajdid Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab serta aliran Salafi Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim al-Jauziyah memberi kesan yang tidak kecil dalam kalangan masyarakat Islam di dunia.

Kehadiran jemaah-jemaah ini Islam memberikan semangat yang baru terhadap umat Islam yang telah diragut maruahnya oleh kaum kuffar rentetan sejarah kejatuhan umat Islam yang sangat panjang.

Amat sukar untuk mencari kebenaran bahawa Islam ini tidak diletakkan pada tempat yang tinggi akibat daripada keruntukan khalifah Islamiyah keseluruhannya pada tahun 1924.  Umat Islam bukanlah jatuh terperosok hanya disebabkan oleh keruntuhan khilafah Islamiyah seperti mana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Qur'an yang maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka (yang telah terpesong itu).” (al-Baqarah: 120). Kejatuhan umat Islam adalah akibat berlakunya serangan terhadap aqidah mereka, selain penguasaan terhadap fizikal dan pemikiran mereka. Kenyataan-kenyataan ini dapat diperhalusi melalui telaahan sejarah yang tulen dengan pandangan yang terbuka.

Kehadiran jemaah-jemaah Islam di kampus juga merupakan satu 'rahmat' terhadap para pemuda yang memiliki kecenderungan beragama dalam kehidupan. Berikut merupakan beberapa kelebihan yang terdapat pada keterlibatan anak muda dalam jemaah Islam di kampus:

  1. Mampu mengekang pemesongan pemikiran mereka daripada menjauhi Islam. Pelbagai aliran pemikiran yang bertuhankan akal (aqlaniyah) seperti aliran-aliran sesat Qadariah, Jabariyah, Jahmiyah, Muktazilah, ingkar Sunnah (anti Hadith) dan sebagainya yang bukan juga tidak pernah surut, malah sentiasa 'bertukar rupa' bagi menyesuaikan diri dalam persekitaran. Maka, tidak hairanlah lahirnya sesat bertunjangkan akal dan aliran-aliran yang dinyatakan tadi iaitu golongan sekular melalui rantaiannya liberalisme, pluralisme, hedonisme, feminisme dan sebagainya, golongan falsafah yang banyak terpengaruh dengan teologi Kristian, falsafah Yunani dan prmikiran Greek dan Rom seperti beberapa kelompok umat Islam yang sanggup mengatakan syariat tidak perlu diikuti apabila telah 'sampai' ke 'maqam' yang tinggi, serta barah-barah masyarakat yang dicetuskan hasil daripada benih sial Yahudi dan Nasrani yag telah, sedang dan akan disemai dalam masyarakat Islam melalui pelbagai label dan kondisi jagat (universal condition).
  2. Membentuk diri mereka dalam acuan yang dikehendaki Islam. Para pemuda merupakan golongan yang memiliki kemahuan yang kuat, cita-cita yang tinggi, semangat yang membara, tubuh badan yang sihat dan kecerdasan akal. Itu merupakan ciri-ciri seseorang yang bergelar pemuda. Kehadiran jemaah sebagai 'syarikat' yang akan membentuk ahli masing-masing mencapai matlamat yang ditetapkan oleh 'syarikat' masing-masing. Tidak lebih daripada itu.
  3.  Menyertai sebuah organisasi 'kebajikan' yang akan menjaga 'kebajikan' mereka. 'Kebajikan' di sini merangkumi semua aspek kehidupan. Kebajikan dari sudut memastikan keselamatan agama, jiwa dan raga seseorang individu muslim. Agaklah mustahil bagi mana-mana jemaah yang mendakwa diri mereka mengikut manhaj yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w., para sahabat, tabiin dan tabiut tabiin bersifst dungu terhadap kebajikan para ahli mereka.

Justeru, pemuda hari ini perlu mempersiapkan diri agar dilengkapi dengan pakej pemuda rabbaniyah. Ustaz Mustafa Masyhur berpesan :

Wahai para pemuda, kami mahukan kamu sekalian menjadi rijal aqidah yang sebenar-benarnya. Kami mahu kamu menjadi tiang seri yang kuat lagi teguh dan tak pernah bergoyang atau runtuh. Kami mahukan kamu sebagai rijal aqidah, bukan rijal kalam(percakapan) atau rijal jidal(pertengkaran). Rijal-rijal jihad dengan harta dan nyawa bukan jihad di atas lembaran-lembaran buku sahaja atau kamu setakat mengajarkan apa yang kamu pelajari sahaja atau kamu menghukum orang-orang yang selain daripada kamu dengan fasik, kufur atau syirik. Kami mahukan kamu menjadi para du'at bukan sebagai penghukum. Kami mahukan kamu sebagai orang-orang yang sentiasa beramal dengan penuh keikhlasan yang sanggup berkorban dan sentiasa tabah.

Hendaklah kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kaya dan tak pernah berhajat sesuatu daripada jihad kita :

"Dan sesiapa Yang berjihad (menegakkan Islam) maka Sesungguhnya Dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; Sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk."

(Surah Al Ankabut : 6)

11.1.10

Pengumuman Program

Dengan sukacitanya, Ikatan Kerohanian JPP Zon Utara menganjurkan.....


PROGRAM MAHABBAH IPGM ZON UTARA 2010


TARIKH
16 JANUARI 2010

MASA
8.00 AM- 6.OO PM

TEMPAT
DEWAN AL-BUKHARI , IPGM KAMPUS SULTAN ABDUL HALIM ,KEDAH

SASARAN PESERTA
GURU-GURU PELATIH DARIPADA 5 IPGM ZON UTARA (IPGM KPP, IPGM KP , IPGM KDA , IPGM KSAH DAN IPGM KTB)


MUSLIMIN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR KE PROGRAM INI . MOGA SENTIASA DIREDHAI ALLAH. HUBUNGI JK IKATAN KEROHANIAN LOKALITI ANDA.

Serangan Ke atas Gereja





Tindakan merosakkan atau memusnahkan tempat ibadah agama lain tanpa alasan yang benar adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang murni. Ia tidak mungkin dilakukan oleh seorang muslim yang faham agamanya dalam ertikata yang sebenar. Tindakan seperti itu hanya dilakukan oleh orang-orang jahil yang tidak faham bagaimana tabiat sebenar agama yang mulia ini. Merujuk kepada kejadian terbaru yang berlaku di Petaling, di mana ada gereja yang dibakar dengan dilontar bahan-bahan letupan, maka berikut adalah penegasan saya;


  1. Kejadian ini mungkin ada kaitan dengan isu nama Allah yang sedang panas sekarang. Jika demikian, maka saya percaya perkara ini mungkin dilakukan oleh salah satu dari golongan berikut;
    • Pihak yang fanatik di kalangan orang Islam yang tidak memahami disiplin Islam berhubung dengan tempat-tempat ibadah agama lain.
    • Pihak yang fanatik di kalangan orang Kristian yang cuba menimbulkan provokasi.
    • Pihak yang cuba mengambil kesempatan politik dari ketegangan agama di negara ini dengan tujuan-tujuan tertentu.
  2. Islam berlepas diri dari tindakan yang seperti ini. Al-Quran sendiri menyatakan bahawa tujuan peperangan yang berlaku dalam ajaran Islam ialah untuk membela keadilan buat manusiawi, yang antara kebaikannya menyelamatkan tempat-tempat ibadah. Ini seperti firman Allah: (maksudnya) “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Surah al-Baqarah, ayat 251). Ini menunjukkan walaupun Islam hanya mengiktiraf dirinya sebagai agama yang diredhai Allah, namun dalam masa yang sama Islam menghormati hak beragama dan melindungi mereka. 
  3. Ruang perbincangan dan diolag hendaklah dibuka untuk setiap pihak memahami antara satu sama lain. Mendahulukan demonstrasi, jeritan dan slogan yang keras hanya akan menimbulkan lagi ketegangan dalam isu-isu antara agama bagi rakyat yang hidup dalam negara yang mengiktiraf kebebasan beragama. Jalan yang baik ialah firman Allah: (maksudnya) “dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami dan juga Tuhan kamu adalah satu; dan kepadaNyalah kami berserah diri”. (Surah al-Ankabut: 46).
  4. Jangan ada pihak yang cuba menimbulkan ketegangan ini dengan tujuan-tujuan politik seperti untuk mengaut pengaruh dan menjuarai isu untuk mendapatkan nama dan kuasa. Perkara yang penting adalah mempertahankan prinsip-prinsip Islam yang menjamin keselamatan rakyat jelata secara adil dan menentang apa bentuk kezaliman serta pencemaran hak asasi setiap individu dan pihak yang dijamin oleh agama ini.
  5. Orang bukan Islam dalam negara ini juga hendaklah akur bahawa negara ini mempunyai identiti islamnya, maka mereka hendaklah menjaga perasaan dan sensitiviti umat Islam. Ini amat penting dalam keadaan umat Islam mempunyai rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku di Palestin, Iraq, Afghanistan, China, Filiphina, Selatan Thailand dan lain-lain negara yang membabitkan penindasan penganut agama lain ke atas umat Islam. Dibimbangi prejudis dan salahfaham boleh membawa kepada keburukan yang tidak berkesudahan.
  6. Peranan penting para sarjana Islam dan para pemimpin umat Islam di Malaysia ialah mempamirkan ketinggian nilai Islam ini. Amat malang jika kita yang hidup dalam multi-religious society sejak sekian lama tetapi gagal untuk memperkenalkan Islam yang sebenar kepada masyarakat bukan Islam sedangkan berbagai peruntukan dan ruang dimiliki oleh kita.
  7. Sekali lagi, saya amat bimbang ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam pergolakan yang akhir ini. Rakyat dalam negara ini hendaklah berhati-hati.
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
8 Jan 2010

Bakar gereja: Menteri gagal bertindak awal jadi punca


KOTA BHARU, 10 Jan: Kegagalan kerajaan membendung dari awal kemarahan rakyat ekoran mahkamah membenarkan penggunaan perkataan Allah bagi penerbitan Herald, akhirnya mengundang padah.

Media pula seperti dibiarkan mengapi-api isu tersebut dengan memaparkan bantahan orang ramai, tanpa mengambil kira sentimen penganut agama lain.

Kegagalan menteri yang bertanggungjawab ke atas Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mempercepatkan maraknya perasaan tidak senang hati antara kaum.

Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kerajaan dilihat hanya bertindak selepas berlaku peristiwa di luar kawalan sehingga gereja dibakar.

“Isu yang berlaku sekarang berjaya menutup kemarahan sebenar rakyat ekoran kenaikan harga barangan dan kos hidup.

“Mungkin juga sebagai satu pelan bagi mengelakkan rakyat terus bercakap kehilangan enjin jet pejuang yang begitu mengaibkan sekali kerajaan,” katanya di sini.

Beberapa gereja menjadi sasaran serangan pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga merosakkan sebahagian prasarananya, antaranya Gereja Metro Tarbenacle, Gereja Assumption dan Gereja Chapel kesemua di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sebelum itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan membenarkan penerbitan mingguan milik Katholik menggunakan perkataan Allah sebagai ganti ‘god’ dalam bahasa Inggeris.

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, isu berasaskan sentimen perkauman itu telah diperbesarkan begitu rupa sehingga mencetuskan suasana tidak senang.

Oleh itu, beliau berharap mereka yang bertanggungjawab ke atas insiden terbabit dihadap ke muka pengadilan.

Kerajaan diingatkan tidak melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Menurutnya juga, isu perkauman di negara ini seperti sukar berakhir kerana ia sudah menjadi teras kepada perjuangan Umno yang hanya mengutamakan bangsa.

“Apabila rakyat tidak lagi menghormati hak asasi manusia dan kebebasan beribadat di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, maka tidak hairanlah berlaku perbuatan khianat terhadap rumah-rumah ibadat.

“Sedangkan Islam melarang keras tindakan sedemikian, bahkan Rasulullah saw pernah mengingatkan masyarakat di zaman junjungan besar itu menghormati golongan bukan Islam termasuk tempat ibadat mereka.

“Ini menggambarkan betapa suci dan murninya Islam yang mementingkan keharmonian kehidupan masyarakat,” ujarnya.

Dua mahasiswa UPSI maut kemalangan jalan raya

Al-Fatihah Buat Teman...

Ahmad Faizol Bin Abdul Sukor


Mohd Fadhiri Bin Mohamad Ariffin

Tg Malim , 11 Januari - UPSI mencatat rekod pertama kematian mahasiswanya setelah tiga minggu semester 2 sesi 2009/2010 dibuka apabila dua mahasiswa maut dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4.30 - 5.30 pagi di persimpangan lampu isyarat Kuil India dan Yik Mun , mangsa , Ahmad Faizol Bin Abdul Sukor , pelajar semester 8 kursus AT 10 - Pendidikan Khas , beralamat di Kg Aur China , Slow Machang,17000 Pasir Mas, Kelantan maut di tempat kejadian setelah motosikal yang dinaiki mangsa dilanggar sebuah lori ais sehingga menyebabkan mangsa terperosok di bawah kenderaan tersebut. 
Pembonceng motosikal itu yang dikenali sebagai Mohd Fadhiri Bin Mohamad Ariffin , pelajar semester 8 , kursus AT-14 Matematik juga terperosok di bawah kenderaan yang sama dan disahkan mengalami patah tangan , patah kaki,patah tulang belakang dan pendarahan hati apabila dibawa ke Hospital Slim River.
Mangsa yang beralamat di Lot 2902, Lorong Pipit , Taman Adabi , 17500 , Tanah Merah , Kelantan kemudian dikejarkan ke Hospital Teluk Intan setelah disahkan memerlukan pembedahan segera. Bagaimanapun mangsa meninggal dunia di Hospital Teluk Intan kira-kira jam 11 pagi tadi akibat kecederaan teruk yang dialaminya.
Difahamkan kesemua mangsa bersama-sama rakan-rakan yang lain baru tiba ke Tg Malim dari kawasan Utara dengan menaiki keretapi dan dijemput oleh beberapa orang rakan yang lain dan tragedi berlaku apabila mangsa tidak memberhentikan motosikal yang dinaikinya dipersimpangan lampu isyarat berkenaan. 
Kedua-dua mangsa yang telah selesai menamatkan latihan praktikum dikatakan datang ke Tg Malim untuk membantu gerak kerja jentera pilihanraya kampus yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Allahyarham Mohd Fadhiri merupakan bekas calon Pro-Mahasiswa pada pilihanraya kampus yang lepas.
Yang Dipertua Majis Perwakilan Pelajar UPSI, Mohd Hairie B. Abdullah menasihatkan pelajar supaya berhati-hati ketika berada di jalan raya dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Pihak SuaraUPSI merakamkan ucapan takziah dari seluruh mahasiswa UPSI dan memohon semua mahasiswa yang beragama Islam agar mendoakan mereka ditempatkan di kalangan orang - orang yang beriman dan terpuji.

9.1.10



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dari Unit Penyiasatan merakam gambar beberapa bahagian Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic di Desa Melawati, Hulu Klang yang terbakar kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.


Tindakan melampau bakar gereja jejas keharmonian: PM

PUTRAJAYA: Percubaan membakar tiga gereja di ibu negara semalam dikutuk keras oleh pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkannya sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Berikutan itu, beliau meminta rakyat bertenang dan tidak mengambil tindakan yang melampaui batas, sebaliknya diselesaikan mengikut saluran sesuai dengan undang-undang.

"Saya mengutuk tindakan mereka kerana ini akan menghancurkan keharmonian negara dan kepelbagaian agama sebagai amalan hidup yang hormat-menghormati antara satu sama lain yang tidak boleh digugat oleh sesiapa," katanya semalam.

Dalam kejadian itu, tiga gereja dilempar bom api, dipercayai ada kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald-The Weekly Catholic. Kejadian pertama membabitkan Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic di Taman Melawati, pada jam 12 tengah malam, disusuli Gereja Assumption Assunta, Petaling Jaya (jam 4 pagi) dan Gereja Chappel, Damansara (jam 8 pagi).

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kebakaran di Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic hanya menyebabkan kemusnahan perabot dan buku. Bom api yang dilempar di dua lagi gereja tidak meletup.


Perdana Menteri juga sudah mengarahkan polis meningkatkan kawalan di semua rumah ibadat di seluruh negara dan memberi jaminan kerajaan akan mengambil segala tindakan perlu bagi mencegah perbuatan berkenaan.

Najib secara tegas menolak andaian seorang wartawan sebuah laman portal berita kononnya Umno cuba menimbulkan ketegangan selepas keputusan mahkamah membenarkan perkataan Allah digunakan majalah itu.

"Jangan menuding jari kepada Umno atau sesiapa juga... kita sentiasa bertanggungjawab. Jangan kata serangan ini didalangi oleh Umno. Anda baru saja membuat kenyataan yang cabul. Anda bermaksud begitu... tolong hentikan," katanya.

Menjawab soalan, Najib berkata beliau meminta polis berwaspada mengenai kemungkinan berlaku tindak balas atau ketegangan dan mahu supaya tidak ada pihak yang melanggar undang-undang dan mencegahnya sehingga akar umbi.
Sementara itu, dalam laman web 1Malaysia, Najib berkata mereka yang bertanggung jawab dalam insiden itu akan dihadapkan ke mahkamah.

"Kejadian yang cuba memecah belah, tidak mewakili Malaysia atau agama Islam. Mereka tidak mewakili keluarga kita dan masyarakat kita atau usaha yang sedang dilakukan ke arah mengukuhkan gagasan 1Malaysia," katanya.

Perdana Menteri menegaskan insiden keganasan yang digerakkan oleh perbezaan politik, sosial atau agama adalah ancaman kepada kestabilan dan keharmonian negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pula berkata siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian, namun ada kemungkinan ia berpunca daripada tidak rasa puas hati keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah itu.

Beliau berkata, berdasarkan modus operandi, ia tidak dirancang rapi dan yang melakukannya adalah lelaki bermotosikal yang mungkin terlalu emosional sehingga mendorongnya bertindak terburu-buru.

"Ada kemungkinan tiga kejadian ini membabitkan suspek berlainan dan usaha dijalankan bagi mengenal pasti identiti mereka berdasarkan keterangan beberapa saksi, termasuk kakitangan dan pengawal keselamatan gereja terbabit.

"Difahamkan, ada kakitangan gereja menerima panggilan ugutan daripada seorang individu pada jam 6 petang kelmarin yang memberi amaran berjaga-jaga. Kita percaya ugutan itu ada kaitan dengan kejadian ini," katanya.

PM umum RM500,000 untuk gereja dilontar bom petrol

09/01/2010 7:03pm

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini, yang terbakar awal pagi semalam dipercayai akibat dilempar bom petrol, bagi membolehkan pihak pentadbiran gereja membangunkan rumah ibadat itu di tempat lain.
Perdana Menteri berkata, ia sebagai tanda simpati kerajaan terhadap apa yang telah berlaku dan peruntukan itu akan disalurkan kepada pihak Assembly of God agar mereka dapat membangunkan gereja di kawasan baru.
"Ini adalah sokongan kerajaan... ini adalah tanda keikhlasan kerajaan dan saya harap semua pihak akan bersikap tenang”.
“Kerajaan amat komited untuk menjaga keadaan yang harmoni dan hubungan yang baik antara kaum dan agama di dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan yang dialami gereja itu dan disambut dengan tepukan oleh ramai yang hadir. – Bernama

4.1.10

Dalam Sayap Camar

uGemersik untaian alam berlalu
Membisikkan seribu satu noktah yang kaku
Mencarik budi di balik keangkuhan manusiawi
Sifat kemanusiaan
Kelemahan diri menjadi abadi
Mengungkit persoalan akan hakikat diri
Hamba Tuhan yang tidak pernah tuli

Lambaian fauna itu membawaku sebentar ke alam baqa'
Mengusik hati yang lara di sebalik kegagalan kedua
Dunia kurasakan menghimpit jiwaku
Mempersoalkan setiap jawapan minda yang terungkap
Sungguh aneh kurasa
Lemah dalam kekuatan

Andai ada yang menyatakan sengsara
Diriku lagi kurasakan merana
Dugaan ini terkadang membawaku jauh daripada diriku
   yang sebenar
Tangisan alam kurasakan sepi
Ligatan dunia kurasakan mencapah meneroboh kemahuanku
Membawaku jauh daripada jiwaku yang tenteram
Namun cukup untuk merisik hatiku dalam pintu muhasabah

Tidakku ingat dan akanku lupa
Sepanjang kelemahan jiwa dalam mengharapkan teman
Memandang jauh tanpa hakikat
Itdak terurat bukan tersirat
Kurasakan keseorangan dalam pelayaran jiwa ini
Membawaku kepada lembah api kesedihan yang amat
Mengenangkan sarang ditinggalkan apabila dewasa kelak
Akulah sarang itu

Perjuangan ini akan diuji
Ramai yang sekadar hafal ungkapan ini
Ramai
Namun kini ku diuji
Bukan sekadar koreksi diri
Bahkan dalam menilai teman abadi
Teman semati
Agak sukar kutermui kecuali dalam kepayahan yang amat
Itulah hakikat ini

Aku pasrah dengan segala ketentuan-Nya
Aku sedar tentang kekuasaan-Nya
Aku akan membawa diriku ke lembah penerimaan diri
Sufi dalam hati
Membawaku terus kepada hakikat diri
Sekadar tarbiyah diri
Islam agama praktis
Bukan sekadar logis
Bahkan sangat terkesan dalam membentuk manusia
Lari daripada sifat kebendaan
Kerana kita adalah manusia
Tidak Allah ciptakan jin dan manusia kecuali
   untuk beribadah kepada-Nya
Moga Allah memberkati

3.1.10

Isu Penggunaan Nama "Allah" bagi Orang Bukan Islam (Rencana 2)

Oleh : Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Di sini saya mencadangkan beberapa perkara untuk diteliti dalam isu penggunaan nama Allah oleh mereka yang bukan Islam.

Seperti mana yang saya sebutkan dalam artikel saya pada tahun 2007 yang bertajuk “Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah” bahawa isu ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas-nas Islam. Harap kenyataan ini dibaca bersama dengan artikel tersebut.

Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?!

Juga di pihak umat Islam sendiri, pendidikan akidah Islam tidak ditekankan secara yang sepatutnya. Kita lebih banyak menumpulkan soal fekah sehingga melupai pokok yang lebih penting iaitu akidah. Inilah sebabnya ramai orang melayu sekalipun bersolat, ada yang mudah terpengaruh dengan khurafat, bomoh, tahyul dan seumpamanya.

Jika kita jelas dalam persoalan akidah, tentu unsur-unsur seperti itu, pengaruh kristianisasi, unsur-unsur agama lain tidak dapat mengelirukan akidah dan pemikiran umat. Isu nama Allah ini sepatutnya menyedarkan kita keperluan menegaskan soal akidah dan batas-batas iman dan kufur.

Untuk mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum, maka saya sekadar mencadangkan beberapa pekara berikut sebagai garis panduan yang patut diambil perhatian oleh pihak kerajaan;
  1. Nama Allah tidak boleh dipanggil melainkan hanya kepada tuhan yang sebenar. Maka dengan itu tiada pihak yang boleh menamakan sekutu-sekutu Allah yang didakwa oleh manusia sebagai tuhan atau perantara tuhan sebagai Allah. Ini seperti memanggil berhala, atau batu, atau patung, atau manusia dengan panggilan Allah. Jika ini berlaku, muslim memang wajar menentang dan membantah. Musyrikin Quraish yang memanggil tuhan sebenar Allah tetapi mensyirikkanNya, pun begitu tidak menamakan berhala mereka dengan nama Allah, sebaliknya menamakan berhala-berhala mereka dengan panggilan al-Lata, al-‘Uzza, Manat dan seumpamanya.
  2. Manusia memang sewajar memanggil tuhan yang sebenar Allah. Ini juga membuktikan ajaran Islam yang memanggil tuhan ‘Allah’ itulah yang benar. Maka, tidak mengapa, bahkan sepatutnya semua manusia tanpa mengira agama menyatakan “Allah yang menciptakan alam”, “Allah yang menurunkan hujan”, “Allah menyuruh kita melakukan kebaikan” dan seumpamanya. Perkataan-perkataan itu benar. Adalah tidak wajar seorang muslim membantah apabila mendengar bukan muslim menyatakan perkara seperti itu. Bahkan al-Quran menyebut: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).
  3. Jika mereka akur Allah adalah Tuhan sebenar, lalu mereka memanggilnya dalam ibadat mereka maka seorang muslim tidak boleh mengganggu urusan ibadah agama lain. Walaupun Islam mempertikaikan kesyirikan mereka, tetapi kebebasan beribadah adalah hak setiap agama.
  4. Bukan muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam. Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat.
  5. Bukan muslim tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan. Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain.
  6. Menyebut nama Allah dalam pergaulan antara muslim dan bukan muslim dengan cara yang hormat dan mengagungkan Allah seperti bukan muslim menyebut kepada muslim “semoga Allah merahmati kamu”, atau “semoga Allah memberi rezeki kepada kamu” adalah diizinkan. Bahkan itulah yang sepatutnya. Nabi s.a.w ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.
Ini adalah beberapa cadangan saya mengenai hal ini untuk dijadikan garis panduan kepada rakyat Malaysia agar kita tidak merusuh disebabkan isu ini. Sebaliknya, hendaklah setiap pihak menghormati sensitiviti pihak yang lain.

Isu Penggunaan Nama "Allah" bagi Orang Bukan Islam

PUTRAJAYA 3 Jan. – Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan akhbar masing- masing bagi mengelakkan wujud suasana tidak harmoni.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, keputusan itu dibuat kerana penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan di kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain dijadikan perbahasan umum yang menggambarkan seolah-olah tiada kebebasan beragama di negara ini.

‘‘Semalam, Kabinet memutuskan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ seperti mana yang telah diputuskan dalam mesyuaratnya pada 18 Oktober dan 1 November 2006.

‘‘Lagipun, mengikut amalan sejak sekian lama di negara ini, kalimah ‘Allah’ hanya merujuk kepada Tuhan penganut agama Islam sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1429/2008 yang akan disambut pada 10 Januari ini di sini hari ini.
Acara tahunan kali ini yang bertemakan ‘Menjana Ummah Gemilang’ itu akan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Pada 31 Disember lalu, pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah ‘Allah’.
Bagaimanapun, pada hari yang sama, Timbalan Menteri KKDN, Datuk Johari Baharum menegaskan, sekali pun permit akhbar itu diperbaharui, larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ masih kekal.

Sehubungan itu, Abdullah memberitahu, pihaknya akan memaklumkan secara rasmi kepada KKDN berhubung keputusan tersebut secepat mungkin.

Beliau berkata, selain kalimah ‘Allah’, kalimah solat, Kaabah dan Baitullah adalah dilarang penggunaannya dalam penerbitan agama lain.

‘‘Ia berdasarkan keputusan Kabinet pada 31 Julai 2002,” katanya.