12.2.10

Kader-kader Dakwah IPG Kampus Ipoh

"Hai, layak ke kita (saya) ganti abang," ujar salah seorang daripada anak usrahku di IPG Kampus Ipoh. Aku tersenyum melihatkan kerendahan hatinya. "Abang pun tidaklah layak, sekadar bersembang sikit-sikit bolehlah," jawabku.

"Mana ada. Kita harap abang mampu membimbing saya dalam agama, banyak kekurangan dan kelemahan. Mana layak lagi nak ganti abang," jawabnya.

"Yi jangan risau, insyaAllah. Abang harap Yi istiqamah dengan usrah abang. Istiqamah dalam mengamalkan Islam. InsyaAllah suatu hari nanti Yi akan lebih bersedia memikul peranan abang," kataku kepada anak usrahku itu sambil menghela nafas yang tersangat panjang.

Dadaku dipenuhi dengan perasaan gusar dan ketidak tenteraman. Aku tidak tahu kenapa, namun segalanya berkaitan dengan masa depan masyarakat di sini. Hari ini anak usrahku bertanya dan mendampingiku, aku tidak tahu adakah esok atau lusa dia masih kekal bersama-samaku mengerakkan dakwah di sini.

Mataku menyoroti segenap ruang solat dan persekitaran luar nadi IPG Kampus Ipoh, Pusat Islam Nur Hidayah. Damai. Tenang. Namun, kehadiran jemaah solat Asar yang lebih kecil daripada kehadiran solat Subuh di kampung halamanku, Kg Nilam Puri, Kota Bharu ini sedikit sebanyak mengganggu perasaan dan jiwaku.





Sapaan kader-kader dakwah Ketua Lujnah Hal Ehwal Surau (HES) dan Ketua Lujnah Tarbiyah kurasakan seakan tidak memalingkan diriku daripada memikirkan hal tersebut melainkan sedikit.

Senyuman mereka kubalas sebagai menghargai mereka selaku pewaris legasi Islam di IPG akan datang,

Kususuri keesokan harinya seperti kebiasaan. Aku lebih banyak menghabiskan masa di IPG berbanding di rumah sewaku sendiri. Waktuku banyak dihabiskan bersama penggerak-penggerak dakwah di IPG. Sekadar menolong mengikut kemampuanku.

Perkembangan terbaru di sini agak menggusarkan diriku. Pasangan 'tanpa nikah' galak berdua-duaan, selain ramai muslimat suka mengenakan pakaian yang menyebabkan kaum Adam terkesima, selain budaya 'gelak kuat-kuat' (kurang menjaga akhlak) dalam kalangan pelatih menyebabkan aku semakin 'jauh' daripada memahami perkara yang sedang berlaku dalam khalayak IPG ini. Aku tidak faham apakah yang sedang berlaku dalam masyarakat IPGku ini.

Budaya hedonisme (sanjungan terhadap hiburan) juga berlaku secara berleluasa di sini menyebabkan 'wajah' Islam yang sebenar sedikit 'disembunyikan'. Program percampuran lelaki-perempuan selain program tabarruj diangkat melangit sedangkan program kerohanian seakan program kematian kaum Sakai di Pahang.

Semua acara/program yang dikendalikan oleh mana-mana pihak di sini pasti akan menggunakan  hiburan melampau ini sebagai daya penarik untuk menarik kehadiran khalayak ke majlis-majlis mereka. Dan, cara 'mereka' ini sangat berkesan.

Aku tidak pernah menentang sebarang bentuk hiburan kerana sehingga kini lagu bingkisan Amuk, XPDC, Wings dan kumpulan monumental rock yang lain masih menjadi siulan aku pada waktu kelapangan. Sum 41 dan Metallica juga menjadi dambaanku. Malah, aku agak menggemari program lasak dan sukan berbanding membeli belah walau pun sekarang aku tidak aktif lagi dalam mana-mana perkara tersebut.

Namun, andai perbuatan itu dilaksanakan tanpa bimbingan daripada syara', itulah yang perlu kita pertikaikan. Ikhtilat dan solat, serta matlamat sesuatu aktiviti itu perlulah dirujuk 100% kepada syara'.
Andai terdapat walau satu pun kepincangan dalam sesuatu aktiviti itu, WAJIB diperbaiki terus berdasarkan neraca al-Qur'an dan as-Sunnah.


 Persoalan mendasarku, adakah kebanjiran program dakwah di Pusat Islam tidak memberi kesan terhadap atmosfera di IPG ini? Kehadiran jemaah di Pusat Islam, pembentukan akhlak dalam kalangan pelatih malah kehadiran pelbagai ideologi-ideologi songsang seperti hedonisme, pluralisme, sekularisme dan sebagainya yang dianuti sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia ini akan terus meresap dan mempengaruhi jiwa raga pelatih di IPGku yang tercinta ini.

Gerakan usrah melalui platform Study Circle perlu dimanfaatkan seoptimum mungkin agar para pelatih akan terbiasa dengan pengamalan Islam dalam kehidupan. Islam sebagai ad-deen.

Kelemahan sistem yang digagaskan oleh asy-Syahid Hasan al-Banna berpandukan Sirah Nabi s.a.w. ini perlu dimanfatkan bersama. Kelemahan sistem usrah ini akan mencalarkan kesucian fikrah (fikiran) yang dipegang oleh para pelatih baru ambilan Julai saban tahun.

Satu ingatan kepada semua, persoalan aqidah merupakan asas bagi Islam dan WAJIB juga ditekankan dalam gerakerja Biro Kerohanian dan Moral di sini. Kita tidak akan bercakap berkaitan solat berjemaah, penjagaan akhlak Islam, qiamullail, solat sunat rawatib, puasa sunat dan sebagainya melainkan dengan perasan ini mempasakkan aqidah yang utuh dalam hati kita. Bukan sekadar nak dapatkan pahala dan memenuhi takwim mingguan. Namun, bermatlamatkan penyemaian terhadap hubungan yang erat antara Khaliq (pencipta) dan makhluk (yang dicipta).

3 comments:

Dx said...

yang layak menggantkan abg, adalah manusia pilihan abg, tpi hakikatnya pilihan Allah

AHMAD ZHAFRAN BIN MD NOOR said...

tERIMA kasih. Moga Allah permudahkan jalan dakwah kita.

AHMAD ZHAFRAN BIN MD NOOR said...

Nabi s.a.w. tidak diberi kemenangan dengan mudah melawan taghut. Baginda dan para sahabat bertungkus lumus mencapai kemenangan itu walau pun sangat mudah untuk Allah berika kemenangan kepada pihak Islam. Jadi, kita perlu berusaha untuk mencapai cita-cita. Jangan sekadar berharap tanpa berusaha, jangan ketentuan Allah sebagai alasan untuk tidak mahu berusaha. Berkaitan aqidah juga. Liaht firqah sesat qadariah dan jabariyah, baru akan tahu di manakah kita dalam ahlus sunnah wal jamaah.