28.9.10

Aku Belajar Di Sini

Aku belajar di sini
Orang agama hanya suka menjaga mekap di pipi

Aku belajar di sini
Agama hanyalah untuk menaikkan peribadi

Aku belajar di sini
Peluangku untuk bangkit sebagai seorang pejuang agama
Hanya sekadar mimpi-mimpi
Kerana agama di sini hanyalah untuk diminati, dikasihani
Dan bukan untuk dihayati

Kerana agama di sini
Bukanlah agama Rabbi tetapi agama peribadi

(Benarkah ini tuan? Hanya merujuk sebahagian kecil 'orang agama' - sebahagian kecil sahaja)

15.9.10

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dari sudut Akta 174

Berikut saya kemukakan salinan bagi Akta 174 yang menghuraikan  Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP). Huraian ini boleh didapati dalam Jadual Ketiga (Seksyen 7,8, 22, dan 23) Akta 17, Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

JADUAL KETIGA
(Seksyen 7, 8, 22 dan 23)
JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR

Huraian Umum Organisasi


Berikut dinyatakan pemilihan JPP hendaklah dilakukan melalui PILIHANRAYA dengan UNDI RAHSIA, kemudian baharulah diutamakan kaedah-kaedah lain termasuklah melalui perlantikan 'secara paksa' atau 'perwakilan setiap unit' yang dilakukan oleh sesetengah institusi pendidikan ini.

1. (1) Pelajar-pelajar sesuatu Institusi  hendaklah memilih suatu Jawatan Kuasa Perwakilan Pelajar secara berikut:
(a) berkenaan   dengan   sesuatu   Institusi   yang  mengadakan   suatu   kursus pengajian hanya  dalam satu bidang  tertentu selama  tempoh beberapa tahun, pelajar-pelajar bagi tiap-tiap satu tahun tertentu hendaklah memilih dengan kertas undi  rahsia atau apa-apa cara lain yang ditentukan oleh Pegawai  Hal   Ehwal   Pelajar,   sesuatu   bilangan   yang   sama   banyak sebagaimana   yang   ditentukan   oleh  Ketua   Eksekutif   daripada   pelajar-pelajar yang belajar dalam satu-satu tahun itu.untuk menjadi wakil-wakil dalam JPP; atau 

(b) berkenaan dengan sesuatu  institusi yang mengadakan beberapa kursus pengajian   dalam   berlain-lainan   bidang,   pelajar-pelajar   tiap-tiap   satu bidang tertentu hendaklah memilih dengan kertas undi  rahsia atau apa-apa cara lain yang ditentukan oleh Pegawai  Hal Ehwal  Pelajar, sesuatu bilangan yang sama banyak sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Eksekutif daripada pelajar-pelajar yang belajar dalam satu-satu bidang itu untuk menjadi wakil-wakil dalam JPP; pembahagian mengenai pelajaran yang   diadakan   oleh   sesuatu   Institusi   kepada   berbagai-bagai   bidang pengajian   bagi  maksud-maksud   perenggan   kecil   ini   hendaklah   dibuat oleh Ketua Eksekutif dengan kelulusan Menteri.

(2)  Apa-apa soal   tentang sama ada perenggan kecil   (a)  atau perenggan kecil   (b) perenggan (1) dipakai  bagi sesuatu Institusi hendaklah ditentukan oleh Menteri dan penentuan itu adalah muktamad.

Jawatan Yang Wajib Ada


Seksyen ini juga menyebut jawatan yang wajib diadakan dan diisi dalam JPP.

2. JPP hendaklah memilih dari antara ahli-ahlinya seorang Yang Dipertua, seorang Naib Yang Dipertua,  seorang Setiausaha dan seorang Bendahari,  yang mana sahaja hendaklah menjadi pemegang-pemegang jawatannya.

Tempoh Memegang Jawatan


Ditegaskan sekali lagi bahawa tempoh memegang jawatan bagi ahli JPP adalah SATU TAHUN. Takrifan DUA PENGGAL yang diguna pakai oleh sesetengah institusi pendidikan ini wajar dirujuk sebagai DUA SEMESTER dan BUKAN dua tahun!

3. Ahli-ahli JPP dan pemegang-pemegang jawatannya hendaklah dipilih untuk satu tahun.

Keputusan Mesyuarat


Seksyen ini turut menghuraikan kaedah pemilihan keputusan dalam sesuatu mesyuarat JPP dan proksi yang 'perlu' dipatuhi dalam pelaksanaan gerak kerja organisasi. 


4. Keputusan-keputusan  JPP hendaklah diambil  dengan undi   terbanyak  dengan tidak kurang daripada dua per tiga daripada ahli-ahli hadir dan mengundi.

Pembentukan Jawatankuasa Program

5. JPP   boleh  menubuhkan,   dari   semasa   ke   semasa,   dengan   terlebih   dahulu mendapat kelulusan secara bertulis Pegawai  Hal  Ehwal  Pelajar, jawatankuasa-jawatankuasa ad hoc dari antara ahli-ahlinya untuk maksud-maksud atau tujuan-tujuan tertentu.

Ketidaklayakan Memegang Jawatan

6. Tiada   seorang   pelajar   yang   keputusan   pembicaraan   tatatertib   terhadapnya masih   ditunggu,   atau   yang   telah   didapati   bersalah   atas   suatu   kesalahan tatatertib,   boleh   dipilih   atau  masih  menjadi   seorang   ahli   JPP   atau   seorang pemegang jawatan mana-mana badan atau jawatankuasa pelajar, melainkan jika dibenarkan secara bertulis oleh Ketua Eksekutif.

Tujuan/Matlamat Penubuhan 

7. Tujuan-tujuan dan tugas-tugas JPP ialah –

(a) membantu dan menggalakkan, tertakluk kepada arahan Ketua Eksekutif, kemajuan   kemudahan-kemudahan   bagi   pelajar-pelajar   seperti kemudahan-kemudahan   rekreasi   dan   pembekalan   makanan   dan minuman;

(b) membuat   rayuan   kepada   Ketua   Eksekutif  mengenai   perkara-perkara berhubung dengan keadaan-keadaan dalam mana pelajar-pelajar tinggal dan berlajar,

(c) mengusahakan apa-apa aktiviti   lain sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Eksekutif dari semasa ke semasa

(d) untuk memupuk semangat  hidup sebagai  suatu persatuan di  kalangan pelajar-pelajar Institusi; dan

(e) membantu pihak berkuasa Institusi memelihara disiplin pelajar.

Larangan Mengumpul Dana

8. JPP tidak boleh menyenggara apa-apa kumpulan wang atau membuat apa-apa pungutan  wang atau harta daripada mana-mana sumber jua pun tetapi apa-apa perbelanjaan yang munasabah sebagaimana yang dibenarkan oleh JPP boleh dibayar   oleh   Institusi   jika   tuntutan-tuntutan  bertulis   yang  munasabah  dengan disokong dengan   resit-resit  dan baucer-baucer  adalah dikemukakan oleh JPP kepada Ketua Eksekutif dan diluluskan olehnya.

Pengurusan Kewangan Organisasi

9. Bendahari   hendaklah  menyimpan   akaun-akaun   JPP  dengan   sewajarnya   dan tidak   lewat  daripada  tiga bulan selepas  akhir   tiap-tiap  tahun kewangan,   iaitu tahun   kewangan   sebagaimana   yang   ditentukan   oleh   Ketua   Eksekutif,   suatu salinan akaun-akaun  tersebut  yang diaudit  oleh seseorang yang dilantik oleh Ketua Eksekutif hendaklah dikemukakan oleh JPP kepada Ketua Eksekutif untuk diluluskan.

Pengurusan Dokumentasi Mesyuarat

10.       (1) JPP   hendaklah  mengadakan  mesyuarat-mesyuarat   dari   semasa   ke   semasa sebagaimana yang difikirkannya perlu dan adalah menjadi kewajipan Setiausaha menyimpan  minit   tiap-tiap  mesyuarat   JPP  dan  minit   itu   hendaklah   disahkan dalam suatu mesyuarat yang kemudian.

Pengurusan Mesyuarat Organisasi

(2)  JPP atau sesuatu jawatankuasa  ad hoc  JPP hendaklah,  tidak kurang daripada empat   puluh   jam   sebelum   mengadakan   suatu   mesyuarat,   memberi   notis mengenai   tarikh dan masa mesyuarat   itu dan  juga agendanya kepada Ketua Eksekutif.

(3)  Tiap-tiap mesyuarat   JPP atau mesyuarat   sesuatu  jawatankuasa  ad hoc  JPP hendaklah   diadakan   hanya   di   suatu   tempat   yang   disediakan   bagi  maksud mesyuarat-mesyuarat itu oleh Ketua Eksekutif.

(4)  Ketua Eksekutif  atau wakilnya hendaklah hadir dalam  tiap-tiap satu mesyuarat JPP atau mesyuarat  sesuatu  jawatankuasa  ad hoc  JPP,  melainkan  jika Ketua Eksekutif   memutuskan   sebaliknya   berkenaan   dengan   sesuatu   mesyuarat tertentu.

(5)  Suatu   salinan   minit   tiap-tiap   satu   mesyuarat   JPP   atau   mesyarat   sesuatu jawatankuasa ad hoc JPP atau hendaklah diberi oleh JPP atau jawatankuasa ad hoc  itu kepada Ketua Eksekutif dalam masa tujuh puluh dua jam selepas tiap-tiap satu mesyuarat.

Pengurusan Rekod Jawatankuasa

11. Rekod-rekod   JPP   atau   rekod-rekod   sesuatu   jawatankuasa  ad   hoc  JPP hendaklah sentiasa terbuka untuk diperiksa oleh Ketua Eksekutif atau wakilnya.

12.   Bagi  maksud   Jadual   ini   “pelajar”   ertinya   seorang,   lain   daripada   seseorang pegawai awam, yang mengikuti kursus pengajian dalam Institusi:Dengan   syarat   bahawa   seseorang   adalah   terhenti   daripada  menjadi   pelajar dalam   erti   perenggan   ini   mulai   dari   tarikh   peperiksaan   akhir   bagi   kursus pengajiannya bermula, jika ia masuk peperiksaan itu.

Sumber : Undang-undang Malaysia Akta 174 Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976

8.9.10

Tanggungjawab Menyokong Perniagaan Muslim

Oleh : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sikap tolong menolong, bantu membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam). Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. Membantu sesama muslim adalah antara tanggungjawab yang mesti dipikul oleh bahu setiap yang beriman dengan ayat Allah (maksudnya) “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara” (Surah al-Hujurat ayat 10). Bagi membuktikan persaudaraan islam yang tulin, baginda Nabi s.a.w. menghuraikan di dalam hadithnya, daripada Abi Musa r.a., sabda Nabi s.a.w.: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Ini berlaku disebabkan faktor-faktor tertentu, mungkin salah satunya perkauman.


Di samping itu kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam. Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Padahal dalam keadaan sebeginilah setiap umat Islam lebih dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Juga menunaikan tanggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat. Ianya juga menguatkan ekonomi umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa harta serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Al-Syeikh Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain” di atas, menyebut: Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, ianya semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa (Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, jld 1, m.s. 199,cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut).

Jika ada peniaga muslim di sesuatu tempat, pembeli muslim yang lain hendak membantunya dengan membeli daripadanya. Janganlah dijadikan perbezaan harga yang sedikit menjadi ukuran. Ini kerana kita tahu, kekuatan ekonomi saudara kita masih lemah dalam menghadapi persaingan. Jadikan akidah dan persaudaraan lebih utama, dan anggaplah membeli daripada saudara kita yang muslim adalah ibadah.

Demikian juga jika ada barangan keluaran muslim, pembeli muslim yang lain hendaklah membeli daripadanya. Jangan jadikan perbezaan rasa dan kualiti yang sedikit, menyebabkan kita menggadaikan persaudaraan kita. Membeli barangan saudara kita yang muslim adalah ibadah. Apatah lagi dalam keadaan kita sedang berusaha membangkit umat yang kebelakang dalam persaingan ekonominya. Ini semua menunaikan apa yang digesa di dalam hadith yang sahih, sabda Nabi s.a.w: “Bandingan golongan mukminin di dalam kasih-sayang, simpati dan tolong menolong antara satu sama lain seperti satu jasad. Sekiranya satu anggota mengadu kesakitan, maka seluruh anggota akan berjaga malam dan demam panas” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bayangkan kalau semua rumah muslim menggunakan barang keperluan makanan hariannya seperti rempah, sos, kicap, minyak masak dan lain-lain keluaran muslim, betapa kita telah menguatkan ekonomi saudara-saudara kita para peniaga muslim, dan memastikan wang kita sebagai pembeli muslim mengalir kepada saudara kita muslim yang lain. Terngamakkah kita menggunakan barangan “orang lain” dan meninggalkan barangan saudara muslim kita. Iman yang tulin membantah tindakan ini. Bahkan dalam arus persaingan yang ada, kita sebenarnya mengkhianati saudara kita para peniaga muslim, yang sedang melaksanakan fardu kifayah mengeluarkan barangan tersebut. Sabda Nabi s.a.w.: “Seorang muslim itu saudara muslim yang lain. Dia tidak akan mengkhianatinya, mendustainya dan menghinanya. Setiap muslim haram (mencemar) maruah, harta dan darah muslim yang lain. Taqwa itu di sini (hati). Cukuplah untuk dianggap seseorang melakukan kejahatan dengan dia menghina saudara muslimnya. (Riwayat al-Tirmizi, kata hadith ini hasan. Kata al-Sakhawi: Ianya hasan sahih)

Ibn `Allan (meninggal 1057H) ketika menghuraikan maksud “tidak mengkhianatinya”, berkata: “mengkhianatinya ialah mengurangkan haknya yang mesti ditunaikan iaitu tolong menolong dan bantu membantu” (Ibn `Allan, Dalil al-Falihin, jld. 1, m.s. 17, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut)

Hadith-hadith lain begitu banyak yang menunjukkan betapa seorang muslim wajib menolong saudaranya muslim yang lain. Seperti yang disebutkan tadi, suasana persaingan yang ada menuntut untuk semangat ukhuwwah dipertingkatkan. Malangnya sebahagian kuliah-kuliah hambar di masjid dan surau tidak menekan peri pentingnya hal ini. Sehingga kita menjadi lemah. Pengusaha-pengusaha muslim tidak mendapat sokongan daripada saudara seakidahnya sendiri.

Bayangkan sekiranya setiap kedai makan dan restoran yang dimiliki oleh orang muslim yang tumbuh bagaikan cendawan kebelakangan ini menggunakan produk buatan muslim, betapa kita berjaya menguatkan ekonomi umat membantu antara satu sama lain. Bayangkan setiap perniagaan muslim mendapat sokongan daripada saudara muslim yang lain. Tentu wang umat akan berkisar sesama umat dan penglibatan muslim dalam bidang perniagaan akan dapat ditingkatkan.

Berdasarkan hadith-hadith yang disebutkan, nyata membeli barangan muslim dengan niat persaudaraan Islam dan ingin membantunya adalah ibadah. Dalam kata lain, pembeli muslim bukan sahaja memperolehi barang, tetapi dia juga memperolehi pahala. Jika ada sedikit sebanyak kekurangan, dalam suasana lemah dan persaingan yang ada, kita hendaklah menasihati saudara kita penjual muslim dan bersabar.

Di sudut para peniaga muslim pula, mereka hendaklah mengamalkan akhlak Islam dalam perniagaan. Proses menghidupkan suasana tolong menolong di dalam memajukan perniagaan muslim tidak akan berjaya jika tidak wujudnya kesedaran dari kedua belah pihak. Perkara yang paling buruk sekali di dalam perniagaan ialah penipuan. Peniaga muslim ketika mengendalikan perniagaan, atau mengeluarkan produknya hendaklah amanah dan sama sekali mengelakkan anasir penipuan di dalam perniagaan. Para penipu umat tidak termasuk di kalangan umat Nabi s.a.w. dan tidak layak mendapat pertolongan di dalam kalangan masyarakat muslim yang kita idamkan. Dalam hadith riwayat Muslim, Rasulallah s.a.w. lalu di hadapan selonggok makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangan baginda ke dalamnya. Kemudian di dapati jari baginda lembab. Bagianda bertanya: Apa ini wahai tuan punya makanan?. Jawabnya: Ianya terkena hujan, wahai Rasululallah!. Baginda lantas bersabda: “Mengapa engkau tidak letak ianya di atas, sehingga orang boleh lihat?!!. Sesiapa yang menipu kami dia bukan dari kalangan kami”. Di dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bagi setiap yang belot (menyalahi janji) ada bendera pada hari kiamat, dikatakan inilah pengkhianat si pulan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata Dr. Muhammad `Ali al-Hasyimi: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. begitu keras terhadap penipuan, tipu daya dan pemungkir janji, tidak memadai sekadar mencampak jauh penipu dan pengkhianat janji dari masyarakat muslimin di dunia, bahkan mengistiharkan bahawa setiap pemungkir janji akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan dia membawa bendera penipuan” (Dr. Muhammmad `Ali al-Hasyimi, Syakhsiah al-Muslim, m.s. 164, cetakan: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut)

Berbekalkan perasaan takutkan azab Allah pada hari kiamat, para peniaga muslim mengeluarkan produknya, atau mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah dan tanpa sebarang tipu daya. Masyarakat Islam pula berusaha membeli barangan para peniaga saudara muslim mereka yang dijamin kejujurannya. Para pembeli dalam masyarakat Islam beribadah ketika membeli, sementara para peniaga pula beribadah ketika menguruskan peniagaan dengan jujur dan amanah. Hasilnya para peniaga muslim mendapat jaminan pasaran daripada saudara-saudara muslim mereka, sementara para pembeli mendapat barangan yang dijamin kejujuran pengurusan dan produknya. Jaminan ini tidak tertera di atas kertas perjanjian rasmi, tetapi ianya adalah jaminan iman dan taqwa yang melahirkan ukhuwwah islamiyyah atau persaudaraan islam yang melebihi segala persaudaraan dan perjanjian. Firman Allah: “Bertolong menolonglah kamu di dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong menolong di dalam dosa dan permusuhan” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Di samping itu, perlu diingatkan bahawa para peniaga muslim perlulah memastikan kualiti dalam pengeluaran dan pengurusan. Ini kerana sikap yang amanah sahaja, tanpa kualiti barangan tidak akan dapat memenuhi sasaran. Al-Quran menyebut: "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)."(Surah al-Qasas, ayat 26). Kelayakan mengendali sesuatu urusan mestilah bergabungnya dua faktor; pertama amanah, kedua; kemampuan atau kemahiran. Sekiranya peniaga muslim menggabungkan di dalam dirinya sikap amanah berserta kualiti perniagaan, maka dia memberikan khidmat yang memuaskan hati umat yang sedang bersiap untuk membantu mereka dengan cara membeli produk-produk yang dikeluarkan. Bersemaraklah suasana tolong menolong di atas dasar taqwa.

Juga antara ciri tolong-menolong ialah memudahkan pembeli. Sebagai contohnya; adalah mendukacitakan, apabila kita dapati ada kedai runcit muslim yang sebahagian barangan penting yang menjadi keperluan tidak dijual di dalamnya. Bila ditanya, jawab empunya kedai “untungnya tidak seberapa” atau “untungnya tipis”. Tidakkah dia berfikir sekiranya dia menyediakan barangan tersebut dia telah memudahkan pembeli yang datang ke kedainya, supaya mereka tidak perlu ke kedai lain lagi. Dalam masa yang sama ianya adalah tarikan kepada pembeli dan memudahkan urusan mereka. Memudahkan urusan orang lain adalah ibadah, dan juga membawa faedah kepada perniagaan. Perkara seperti ini sepatutnya difahami dengan baik oleh peniaga muslim. Dalam hadith Nabi s.a.w. bersabda: “..engkau menolong orang lain mengangkat barang ke atas kenderaannya adalah sedekah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tentulah peniaga yang menolong pembeli memudah kerja pembelinya adalah sedekah. Demikian dia berniaga dan beribadah.

Hendaklah kita semua meniru apa yang dilakukan oleh kaum al-`Asy`ariyin (kaum Abu Musa al-`Asy`ari) yang sentiasa tolong menolong antara mereka. Rasulullah s.a.w. memuji mereka, sabda baginda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila keluar berperang, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksud “ Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.

Hadith ini memperlihatkan betapa sikap tolong menolong dan bantu membantu sesama sendiri dalam keadaan terdesak sangat dituntut. Demikianlah membeli barangan muslim dalam keadaan kekuatan ekonomi tidak berada di tangan umat adalah lebih dituntut. Ini bukanlah menggambarkan sikap jumud dan taksub kepada puak. Nabi s.a.w. dalam hadith di atas memuji kaum al-`As`ariyin yang sentiasa tolong menolong sesama sendiri dan tidak menganggap itu sebagai sikap berpuak yang dicemuh. Sebaliknya baginda memuji mereka. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan. (Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, mabadik wa qawa`id `ammah, m.s. 134, Dar al-Fikr, Beirut).

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Umat wajib terus berusaha mengeluarkan berbagai produk dan keperluan sehingga kita tidak bergantung kepada orang lain. Setiap individu muslim hanya ada dua pilihan di hadapannya, samada dia menjadi pengeluar barangan atau pembeli barang keluaran saudara muslimnya yang lain. Mereka yang tidak menyertai kempen ini, melupai bahawa diri mereka adalah satu juzuk daripada umat, juga melupai tanggungjawab ukhuwwah islamiyyah. Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain..” (Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, cetakan: Maktab al-Sunnah, Kaherah).

Marilah kita mengambil pengajaran daripada apa yang disebut oleh Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi ini agar kita bersegera membaiki diri dan kekuatan umat. Umat Islam di tanahair kita jumlahnya banyak, kita memiliki kuasa membeli yang tinggi, malangnya kita tidak tahu bagaimana mengalirkannya dengan tepat.

Memulihkan Kekuatan Ekonomi Umat

    Oleh : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

       Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya sabda Nabi S.A.W. : “Sesungguhnya kaum al-‘Asy’ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripada aku dan aku daripada mereka." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

       Dalam hadith di atas, Nabi S.A.W. memuji sikap tolong menolong, bantu membantu serta perasaan mengambil berat antara satu sama lain. baginda S.A.W memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-‘Asy’ariyin yang jamin menjamin kebajikan sesama mereka. maksud “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah mengambarkan redhanya Nabi S.A.W. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah S.W.T.

       Tolong menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan taqwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas “Sesungguhnya Nabi S.A.W. memerangi asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-‘Asy’ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin menjamin dan bantu membantu dalam harta, juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan”. (Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, mubadik wa qawa’id ‘ammah, m.s. 134. Dar al-Fikr, Beirut)

       Ini kerana seseorang individu atau sesebuah organisasi kadang-kala tidak dapat melaksanakan bantu-membantu atau jamin-menjamin dalam kebajikan meliputi semua masyarakat. Maka sekurang-kurangnya hedaklah dibuat dalam batasan kelompok yang termampu. Namun konsep kebajikan tidaklah boleh dihadkan hanya kepada sekelompok manusia sahaja, jika ada ruang atau tuntutan maka ianya mesti diluaskan. Tidak boleh pula menolong sesama sendiri sehingga ada pihak yang terzalim atau menyempitkan maksud pertolongan sehingga tidak diberi pertolongan melainkan hanya kepada kaum atau kumpulan sendiri sahaja. Ini untuk mengelakkan sikap asabiyyah yang menolong kaum atau kumpulan sendiri sekalipun atas nilai kezaliman. Apabila ditanya Nabi S.A.W.:

       “Wahai Rasulullah ! apakah termasuk di dalam asabiyyah jika seseorang mencintai kaumnya ? Jawab baginda :Tidak ! Tetapi asabiyyah itu seseorang menolong kaumnya atas kezaliman.”

       Kalaulah tolong menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasulullah S.A.W. demi kebajikan terutamanya ketika waktu susah dan terdesak, tentulah tolong menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuhi dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong menolong-menolong, bantu-membantu dan jamin menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebajikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam). seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. sabda Nabi S.A.W. :

       “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bagunan, kuat menguatkan antara satu sama lain.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

       Seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Ini berlaku disebabkan fakktor-faktor tertentu, mungkin salah satunya perkauman.

       Disamping itu kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam.

       Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli digerai, kedai atau pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

       Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara umat Islam masih lagi bergantung kepada dunia barat. Ini adalah salah satu faktor yang menjadikan dunia Islam dayus kepada Barat. Banyak bahan mentah yang dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni. Kita masih lagi gagal untuk mewujudkan kesatuan perdagangan dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia barat dalam tulisannya dengan mengatakan :

       “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri, dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh dibuminya dan ditenun dengan tangannya… sesungguhnya dunia Arab tidak dapat memerangi Barat – jika keadaan memerlukan demikian – selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain." (Abu Hasan ‘Ali an-Nadwi, Maza khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin, ms. 416, cetakan : Maktab al-Sunnah, Kaherah)

       Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi pula : “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hudup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak berani di bumi kita,tidak menghasilkan keluaran dari galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…. Jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimport bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai dalam menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, ms. 12-13, cetakan muasasah al-Risalah, Beirut.)

       Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat individu dan negara dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. menghasilkan produk keluaran muslim adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Bagi peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan kerajaan-kerajaan umat Islam yang ada.
       
       Ini salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan taggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Al-Syeikh Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith : “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat menguatkan antara satu sama lain” di atas, menyebut : “Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu-membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, ianya semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin, jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa." (Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin. 1/119, cetakan: Muasasah al-Risalah, Beirut)

       Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Di peringkat bawahan, umat Islam wajib terus berusaha mengeluarkan berbagai produk dan keperluan sehingga kita tidak bergantung kepada orang lain. lihat pada cuti perayaan orang lain di negara kita, orang Islam menjadi terdesak untuk membeli dan berurusan, ini menggambarkan betapa kita bergantung kepada orang lain. Bagaimanakah kita ingin menceritakan kehebatan Islam kepada mereka dalam membina umat ?

Pengajaran Semasa

  1. Setiap individu muslim hanya ada dua pilihan di hadapannya, samaada dia menjadi pengeluar barangan atau pembeli barang keluaran saudara muslimnya yang lain. mereka yang tidak menyertai kempen ini, melupai bahawa diri mereka adalah satu juzuk daripada umat, juga melupai tanggungjawab ukhuwwah Islamiyyah. Ini kerana suasana umat Islam sekarang amat tertekan dan tertindas.

  1. Negara-negara umat Islam mestilah berusaha mengeluarkan keluaran sendiri terutamanya senjata dan barangan yang menjadi keperluan semua. Barangan asas yang menentukan kekuatan negara mestilah dihasilkan sendiri oleh umat Islam.

  1. Negara-negara umat Islam wajiblah menjadi kitaran dagangan antara mereka. ini supaya hasil dan harta umat tidak jatuh ke tangan musuh. Berdagang sesama negara adalah tuntutan yang mesti dipikul oleh bahu para pemerintah umat Islam masa kini. Hasil kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab maka lihat apa yang terjadi kepada kekayaan Arab yang dilabur dan dileburkan di Amerika dan dunia Barat.

  1. Di peringkat individu, muslim hendaklah membantu perniagaan muslim sedaya mungkin. Ini bagi memastikan kita dapat membina kembali kekuatan masyarakat Islam. persaudaraan Islam membantah seorang muslim meninggalkan saudara muslim yang berniaga lalu membeli dari orang lain.

  1. Membantu ekonomi muslim adalah ibadah.

  1. Mewujudkan badan kebajikan atau seumpamanya demi membantu kebajikan sesama muslim juga adalah ibadah dan perkara yang dipuji dalam Islam.
Freeware © 2006, al-ahkam.net

Sokong Perniagaan Muslim : Antara Kewajipan dan Kehendak Peribadi

"Lompat Tikam"

"Peniaga Melayu suka 'tikam' sesama Melayu. Kau tengoklah benda ni harga murah, dia naikkan harga setinggi mungkin. Maunya orang Melayu sendiri akan sokong perniagaan mereka," kata seorang teman sekelasnya Umair pada satu petang.

Bayaran sebanyak RM60.00 untuk minyak pelincir yang berharga RM16.00, tukar kunci motor yang rosak dan 'betul-betulkan' sedikit rantai dan brek motorsikalnya seakan tidak munasabah sama sekali. Aku tidak sempat memperincikan harga tersebut dengan tuan kedai atas komitmen lain yang terpaksa aku tempuhi.

Itu merupakan situasiku semasa berurusan dengan syarikat yang menawarkan perkhidmatan yang dimiliki oleh orang Melayu Islam.

Teringatku tentang pengalamanku berurusniaga dengan sebuah syarikat yang membaiki dan menjual peralatan elektrik yang terletak di Bercham Raya, Ipoh.

Mesin basuh yang diamanahkan olehku untuk dihantar ke kedai ini merupakan hak milik Pusat Islam, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh. Sampai waktu yang dijanjikan untuk menyerahkan barangan itu, tuan kedai memintaku datang lain kali.

Bayaran RM150 dikenakan kepada kami. Setelah diselidiki, dua buah mesin basuh yang dihantar, hanya sebuah dikembalikan. Sebuah mesin basuh lagi dikatakan "Tak dapat dibaiki lagi. Kalau baiki pun, kena bayar mahal, tukar enjin. Enjin dah tak boleh pakai dah.Bla...bla..bla...," katanya memberikan seribu satu alasan. 

Setelah mesin basuh yang satu ini dihantar semula ke Pusat Islam, tak boleh pakai pulak! Weih, RM150 buat apa! Bentakku dalam hati (tak berkesempatan berhadapan semula dengan tuan kedai Melayu yang baik hati ini).

Halal Lagi Baik

Begitu juga produk makanan.

"Harga produk HPA ni agak mahal, begitu juga produk muslim yang lain. Kerja nanti, ana nak buka kedai yang jual produk-produk biasa yang murah; Colgate, Pepsi kemudian jual dengan harga yang murah juga untuk orang-orang yang kurang berada. Produk HPA tak mampu dibeli oleh kebanyakan orang," kata seorang teman daripada Parit Buntar. 

Aku termenung seketika. Ya tidak ya jugak. Harga produk makanan buatan syarikat muslim lebih mahal daripada syarikat 'bukan muslim'. Sebotol Coca-cola 500 ml berharga RM1.70 sebotol sedangkan Radix Cola berharga RM2.00 untuk 'harga ahli'. Harga bukan ahli semestinya lebih tinggi! Sekadar satu contoh.

Selain harganya 'agak tinggi', produk makanan buatan Melayu Islam juga sukar untuk didapati. 

"Kenapa Abang Atan beli kuetiaw, mee basah dan mee hoon ni daripada pembekal Cina?," tanyaku pada seorang pembekal makanan di kampusku. 

"Susah adik nak berurusan dengan pembekal Melayu ni. Selalu saja bekalan takde. Lagipun orang Melayu ni TAK PANDAI BUAT benda-benda ni semua. Ada yang lembiklah, ada yang mudah rosakah, tak sedap! Yang bukan Melayu buat BEST! Harga pun berbaloi," balas Abang Atan sambil tersenyum.

Orang Melayu TAK PANDAI BUAT makanan, BEKALAN SUKAR NAK DAPAT, dan HARGA TAK BERBALOI!

3 point yang kudapat semasa berurusan dengan pengusaha makanan.MELAYU.

Benarkah macam itu?

Penyelesaian

Di manakah silapnya? Apakah silapnya? Aku serahkan semuanya pada penilaian pembaca sekali. Namun, di sini aku kemukakan beberapa bahan bacaan tambahan untuk penilaian semua pihak. Bacalah.

Selamat Menyokong Perniagaan Muslim!


5.9.10

Belasungkawa Kehidupan : Rock, Dakwah, dan Wanita




Medan Usrah

"Ana sangat meminati muzik yang dimainkan oleh band XPDC, Amuk, Sum 41, Cromok, dan Metallica. Ana juga pernah meminati imej K.I.S.S., Black Sabbath dan System of A Down," ujarku dalam satu pertemuan ilmiah liqa' usrah di IPG-ku tidak lama dahulu.



Kesemua adik usrahku terkejut. Kemudian mereka ketawa sendiri. Mungkin percaya...mungkin...

Ya, bagi pihak yang buta muzik, senarai nama band di atas yang baru sahaja aku kemukakan tadi merupakan band yang sangat masyhur dalam kalangan penggemar muzik metal; thrash, hard, heavy dan black metal. Kalau ada yang mengatakan mereka tidak pernah mendengar nama-nama ini sedangkan mereka mendakwa mereka peminat muzik metal ; maka 'metal' yang mereka katakan itu bukanlah 'metal' tetapi 'dangdut'!

Dahulu, aku sangat meminati muzik-muzik ini. Ditambah lagu-lagu rock 80-an dan 90-an, sangat menusuk jiwa, beb!

Rolling Stone dan majalah-majalah hiburan barat kutatap (Mangga, Hiburan, sorry) untuk menambahkan ilmu di dada.

Namun, kini, jiwaku semakin 'kurang' melayan lagu-lagu seumpama ini; sementelahan Allah telah tunjukkan jalan yang terbaik buatku dalam mengajak masyarakat ke arah Islam.

Teringat kenangan semasa belajar di Maktab Sultan Ismail (SIC) beberapa tahun lepas, aku bukanlah orang yang bernama di sana namun aku agak rapat dengan ramai 'otai-otai' di sana. Coupling, syisya, ponteng, khianat dan pergaduhan merupakan satu epilog diari harian biasa bagi 'otai-otai' di sini.

Berbeza dengan persekitaranku di kampung halaman, Kampung Nilam Puri, sebuah pusat ilmu di Kelantan dengan keberadaan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM) matrikulasi. Aku dibesarkan dalam persekitaran muslimin yang sentiasa berkopiah, muslimah bertudung labuh dan agak 'jarang' isu ikhtilat kedengaran membabitkan penuntut kedua-dua buah institusi (walau pun sebenarnya ada).


Itulah dunia aku dibesarkan!

Tambah-tambahan keluarga aku sangat menitik beratkan soal agama; solat, ikhtilat, akhlaq dan ilmu, maka aku diajar untuk mengenal apa itu Islam seawal 3 tahun lagi.

Pemikiran kritis yang diajar di rumahku menjadikan aku tidak mudah menerima satu kenyataan kecuali dibuktikan kebenarannya, walau pun kerap kali 'ditipu' oleh teman-teman, sekadar gurau senda.

Itulah dunia aku dibesarkan!

Namun, minat yang mendalam terhadap muzik-muzik ini tidaklah sampai aku mengenepikan amalan-amalan wajib seperti solat. Alhamdulillah, Allah bagi kekuatan kepadaku untuk menjadi bilal 'tak bertauliah' di kampungku.

Begitu juga kehidupanku selama 3 bulan di Kolej MARA Kulim. Alhamdulillah, aku antara penggerak 'Skuad Amru' di sana walau pun 'dunia rock' masih menjadi igauan dalam hidupku. Aku mendaftarkan diri di KMK adalah untuk sementara untuk menunggu tawaran masuk ke IPG, namun, arah menjadi seorang rocker masih menebal dalam diriku. Bertentangan dengan hasrat kedua orang tuaku untuk melihatku menjadi seorang guru. Pilihan yang sangat mengelirukan.

Suatu ketika aku berbisik di dalam hati, "Sampai bilakah lagi aku mahu jadi begini? Hidup bermuka-muka, tidak keruan dan hilang erti makna diri. Manakah hala tuju hidupku? Adakah seorang rocker atau seorang guru biasa," aku kaget dan tak keruan.

Kedua-duanya memainkan peranan yang 'benar' dalam dakwah. Aku teringat, andai aku bergelumang dalam medan rock, aku boleh menunjukkan 'tauladan yang baik kepada masyarakat' , "Rock-rock jugak, solat jangan lupa!," bak kata seorang temanku. Takkan tiada rocker yang positif di mata masyarakat?



Punca Kecelaruan Fikrah

Wanita. Ya, wanitalah punca kecelaruan fikrah yang melanda diriku selama ini. Aku meminati muzik bersifat protes ini pun kusuka menjadikan wanita sebagai puncanya. Maaf, berikanlah aku peluang untuk menjelaskannya.

Pengalamku dalam cinta monyet hampir tiada. Aku mempunyai beberapa kriteria yang khusus dalam memilih wanita yang terbaik untuk menjadi teman dalam hidupku. Feminin, bersifat keibuan, keturunan yang baik dan memiliki rupa paras yang tenang di hatiku. Paling utama, solehah yang mampu menemaniku kepada Tuhanku yang satu.

Perkenalanku dengan ramai wanita yang memiliki  sifat ini menyebabkan diriku lebih berhati-hati dalam memilih wanita; bukan semua bulu biri-biri berwarna putih! Ramai yang sekadar uban sahaja!

Alhamdulillah, kutelah temuinya.

Namun, luka parah yang disebabkan wanita ini sebenarnya membekas dalam hatiku. Cuba bayangkan wanita itu menonjolkan sifat-sifat yang kita dambakan dalam hidup kita, kemudian, suatu ketika kita mendengar berita yang boleh dipercayai atau mata kepala kita sendiri bahawa 'kecantikannya' itu hanyalah mekap setebal 2 inci!

Maka, kita berundur diri kerana merasakn diri diperbodohkan dan terpaksalah aku 'membujang', seperti mana istilah teman-teman daripada SIC bagi orang yang masih tidak bercouple.


Maka, kulihat rocklah sebagai penawar bagi kedukaan ini (baru aku merasakan bahawa muzik keras ini merupakan cetusan perasaan bagi penggubahnya, e.g. tengoklah lagu rock 80-an dan kebanyakan muzik Metallica!)

Walau pun kucuba digosipkan dengan beberapa orang kenalan wanita, perkara itu hanyalah sekadar gosip dan tidak lebih daripada itu. Bahkan, ada kes 'angan-angan' daripada wanita itu sendiri. Aku jugak yang jadi mangsanya!

Selain itu, protes tetap protes. Protes terhadap gejala sosial yang kurasakn berpunca daripada wanita. Wanita lagi!

Wanita Lagi!


Namun, setelah aku mengenali Islam secara syumuli, aku dapat merasakan ketenangan dalam hidup. Peluang untuk berkenalan dengan konsep usrah di KMK serba sedikit memberikanku pendedahkan berkaitan Islam yang 'sebenar' - secara jamaa'i dan ruhiy.

Wanita menjadi subjek sampingan dalam hdiupku setelahku menceburkan diri ke dalam gerakan mahasiswa di IPG. Tugasan sebagai Timbalan Exco Agama & Kerohanian sangat membebankanku, namun adakah kuingin harapkan temanku yang lain sedangkan surau IPG tiada yang imarahnya selain aku dan seorang lagi temanku, Ehsan! Bermulalah kepimpinan yang memeritkan dalam hidupku.

Jiwa rockku semakin berkurangan, alhamdulillah!

Cubaan


Setelah menginjakkan kakiku di IPG, aku diuji dengan pelbagai kesulitan yang akhirnya membawaku mengenal diriku yang sebenar.

Pelbagai dugaan mematngkan hidupku; segala cabaran, dugaan dan gosip kutanggapi dengan perasaan suka. "Inilah perjuangan!," Pernahku diherdik semata-mata mengawal konsert konvokesyen yang dianjurkan oleh Unit Pendidikan Muzik, pernah!

Apakah yang nak diharapkan daripada orang yang tegas ini dalam menegakkan kalimah Allah di IPG ini. Cacian, makian, aku dan teman-temanku hadapi dengan terbuka, dan kami seia sekata dalam menghadapi dugaan yang perit ini.

Ketika inilah jiwa rockku terhakis. Benar-benar terhakis kerana memikirkan diriku harus 'satu', menuju matlamat yang satu.

Dunia Indah Menipu


Rock, dakwah dan wanita : ketiga-tiganya berbeza namun boleh disatukan menjadi sebuah cerita. Inilah kehidupan, inilah perjuangan. Andai kita leka walau pun sedetik, tunggulah kehancuran kita!

Dugaan 'tiga serangkai' ini mamberikan impak yang tidak kurang hebatnya kepada diriku. Pengalaman inilah yang mengajarkanku erti kehidupan. Kehidupan seorang manusia dan kehidupan seorang manusia yang mengenal siapa Penciptanya.