16.2.10

"Tazkirah Subuh"

"Kau ni kenapa tak bangun awal Subuh ni? Dah lewat baru bangun," kata salah seorang saudara maraku setelah mengejutkan aku daripada tidur.

Kekerapannya bertandang ke rumahku merupakan satu penghormatan buat kami (menyantuninya sebagai seorang tetamu), namun jika ayat yang di atas itulah ayat yang telah kudengar semenjak 10 TAHUN LALU (dan menghafalnya), mungkin perkara ni merupakan satu 'kepelikan' dan 'keanehan' yang tidak dapat dicerna oleh akal.

Aku menyatakan sedemikian kerana berasa kaget - terpegun dan tertanya-tanya - apakah gunanya beliau membebel pagi-pagi ini sedangkan pada pengamatanku dia tidak memainkan peranannya untuk mengejutkanku awal.

Sedar-sedar, pukul 6.30 pagi dia akan terpacak di hadapanku, meluahkan kalimahnya kepada aku yang masih mamai lagi. Setelah sedar, aku pasti termenung "Dia bangun tahajud, patut kejutku awal lagi. Nak salahkanku bangun lewat bukanlah satu tindakan yang sangat bijak," ujarku dalam hati.

Namun, 6.30 pagi bukanlah waktu ideal untukku membuka kelopak mataku dan mensyukuri nikmat pagi itu. Kebiasaanku pukul 5.20 pagi sudah bangun hatta waktu kuliah dan hujung minggu. Termasuklah cuti ni!

Bekerja membuat tugasan akademik sehingga lewat malam merupakan salah satu faktor aku sukar untuk bangun awal.

Namun, tindakan membebelnya itu sehingga sekarang menimbulkan tanda tanya kepadaku apakah peranan sebenar bebelannya itu. Lebih baik sebelum atau selepas dia menunaikan solat tahajud dia terus mengejutkanku. Bukan sekadar menyalahkanku setelah segala-galanya sudah berlalu. Aneh dunia ini!

Begitulah, pengajaran kepadaku bahawa semua kesalahan tidak wajar diletakkan 100% kepada pelakunya, seorang individu sahaja. Kita, selaku orang yang berpegang erat kepada al-Qur'an dan Sunnah wajar menggunakan seluruh ilmu yang kita ada (ilmu daripada al-Qur'an, Sunnah dan psikologi) untuk menyebarkan dakwah menggunakan kaedah yang 'sebenarnya'. Ummah kita perlu dibawa 'kembali' kepada al-Qur'an dan Sunnah dengan menggunakan pelbagai cara.

Tiada kesempatan untuk para penggerak dakwah menyalahkan orang lain atas 'kegagalan' dakwahnya, tetapi dia perlu berusaha tanpa berharap tanpa berusaha. Serahkan 100% urusan dakwah kita kepada Allah, lakukanlah usaha untuk mencapainya. Inilah i'tiqad kita ahlu Sunnah wal Jamaah.

Peranan kita adalah membawa mereka dan bukan sekadar menghukum. Dan bukan juga menimbulkan persoalan kepada orang yang nak kita dakwahkan bahawa "Apakah yang sedang kamu lakukan?".

No comments: