21.12.10

Kemalangan Bas : Salah Pemandu, Syarikat atau Jalan raya?

Tergamam diriku melihat tajuk muka hadapan akhbar Sinar Harian pada hari ini (21 Disember 2010) - "NAHAS TERBURUK Bas persiaran bawa pelancong terbabas lalu melambung ke laluan bertentangan mengakibatkan 27 maut". Nahas bas lagi! 
Nahas bas yang terburuk berlaku di Malaysia ini berlaku di Kilometer 15, Jalan Cameron Highland pada pukul 11.40 pagi.Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada seorang rakyat tempatan (pemandu) dan 26 orang pelancong Thailand. 

Kemudian keluarlah pelbagai reaksi daripada mana-mana pihak yang berkaitan dengan kemalangan maut tersebut. Seperti biasa, masing-masing akan menunding jari antara satu sama lain. 

Namun, pihak yang selalunya ditekan dalam kes ini ialah pihak syarikat bas tersebut. Pihak syarikat bas tersebut akan disiasat oleh pihak berkuasa. Sudut kajian pihak berkuasa terhadap syarikat bas tersebut ialah lesen syarikat, lesen memandu pemandu, lesen bas, kes saman terhadap pemnadu bas, kondisi bas semasa kemalangan berlaku, kelulusan keselamatan kenderaan dan kelajuan bas dipandu. Namun kadang kala, isu cuaca menjadi faktor utama kemalangan selain mengelak kemalangan kenderaan lain.

Jarang kita dengar kemalangan-kemalangan ini dikaitkan dengan kelemahan pihak berkuasa dari sudut pengurusan jalan raya, pemantauan terhadap kenderaan (bas) dan keselamatan jalan raya itu sendiri. Seolah-olah kemalangan itu cuba dipalitkan kepada pihak syarikat bas sahaja dan sama sekali pihak berkuasa tidak bersalah sama sekali. Benarkah begitu?
Kemalangan ini merupakan kemalangan bas yang kesebelas berlaku pada tahun ini. Dari sudut logikal akal yang sihat, kita dapat menilai suatu kepincangan terhadap isu ini apabila kes ini hanya dipalitkan kepada satu pihak sahaja (syarikat pengurusan bas), dan bukan pihak 'yang satu lagi' (pihak berkuasa).

Jadi, cadangan dariku, usahlah kita asyik menunding jari terhadap orang lain. Pihak berkuasa perlu lebih serius
dalam menangani isu ini agar isu ini dapat diselesaikan dengan lebih benar kerana pihak berkuasa adalah pihak yang diberi amanah untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.





 

13.12.10

Akan Kubina Keluarga Islam

"Akhi ana dah nak kahwin"
Itulah ayat yang menerajang jiwaku
Namun kutahu engkau juga begitu
Bukanlah kerna iri
Bukan pula berkecil hati
Tambah - tambah lagi nak pengaruhi
Keperluanmu sudah tiba
Jodohmu sudah datang
Itulah impianmu
Itulah harapanmu
Itulah tersurat dalam Qada' Qadar hidupmu

Aku pula akan menyusul kemudian
Berkat jiwa selamat
Islam sebagai hakikat
Islam sebagai matlamat
Islam sebagai wasiat
Itulah diriku
Pembentukan diriku begitu
Itu yang aku mahu dalam seluruh hidupku
Termasuklah dalam melayari zaman mudaku
dalam belaian kasih seorang ibu kepada zuriatku
Melayari gelojak diri dan gelora kehidupan ini dengan redha
Redha kerna menjadikan Allah matlamat
Bukanlah sekadar untuk beranak-pinak
Jauh lagi kerna nafsu syahwat

Bagiku
Matlamat keluarga Islam ini bukanlah tepu
Memperbanyakkan pasangan merpati yang berkopiah dan bertudung labuh
Bukan sama sekali
Kerna ramai sungguh pasangan itu namun ummah masih lagi tidak terbela
Hanyut dalam buaian dunia
Tinggalkan Islam kerna keluarga
Bukan sama sekali

Bagiku
Matlamat keluarga Islam ini berperanan besar
Menyatukan pasangan yang benar (haq)
Menyerahkan diri mereka sebetul-betulnya pada Islam
Memegang panji Islam damai di dalamnya
Dengan redha sabar
Menginfakkan seluruh hidup mereka dan keluarga
Dalam perjuangan yang biasa
Jalan yang dilalui Salaf yang mulia
Kewajipan bagi  seorang muslim yang beriman
dan Berakal sempurna
Dalam memahami tuntutan agama
Inilah matlamat keluarga Islam
Pada pemahamanku
Pada hematku
Itulah matlamatku

Akan kubina keluarga Islam
Kerna kutahu inilah kewajipan
Selaku seorang hamba dan khalifah Yang Maha Esa

(Nukilan khas buat pasangan haraki yang menginfakkan seluruh hidupnya pada jalan Allah s.w.t.)

Surat Cinta dari Timur

Wahai temanku
Wahai impian 
Ingin kukhabarkan sesuatu
Sesuatu yang teramat penting buat dirimu
Dan diriku jua
Amat bermakna
Sangat bermakna
Jiwa sentosa

Islam ini mengajarku erti dewasa
Matang dalam berbicara 
Matang dalam berkelakuan
Matang dalam memahami hakikat kehidupan
Kerana ini sudah diterangkan dalam Kitab dan Sunnah junjungan
Moga kita lebih memahaminya

Wahai temanku

Kepenatan terasa bergerakerja
Membawa panji Islam di serata
Di kampung halaman persis 
bergerakerja di kampus pengajian
Malah kurasakan lebih menduga jiwa raga
Kerna aku benar-benar berhadapan dengan masyarakat 
Pelbagai ragam
Pelbagai daya fikir
Pelbagai amalan agama

Namun
Kutak merasakan itu bebanan
Kerna ini amanah diberikan kepadaku
Memegang tanggung jawab sebagai seorang khalifah
Seorang pejuang agama-Nya
Seorang penyeru kepada agama-Nya
Dan 
Seorang hamba-Nya

Temanku

Moga Allah berikan kekuatan kepada kita
Memikul Islam yang sungguh tenat kini
Bukan kerana sifat Islam itu
Namun kerana kebodohan umat Islam
Membiarkan Islam dilacur sedemikian rupa
Neraka jawabnya

Temanku

Aku hanyalah manusia biasa
Sama sepertimu
Namun aku mudah berbicara
Mudah juga bergerakerja
Kerana kutahu Islam itu adalah dunia
Bukan sekadar akhirat di sana
Salam perjuangan dariku
Buat teman di sana

(Nukilan ini ditujukan khas buat para penggerak Pertubuhan Gabungan Mahasiswa Mulong (GMM) yang mengerahkan seluruh jiwa raga untuk mendaulatkan Islam di bumi Mulong. Malah, ditujukan juga nukilan ini kepada penggerak Islam di mana-mana jua tempat di dunia.)