3.1.10

Isu Penggunaan Nama "Allah" bagi Orang Bukan Islam

PUTRAJAYA 3 Jan. – Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan akhbar masing- masing bagi mengelakkan wujud suasana tidak harmoni.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, keputusan itu dibuat kerana penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan di kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain dijadikan perbahasan umum yang menggambarkan seolah-olah tiada kebebasan beragama di negara ini.

‘‘Semalam, Kabinet memutuskan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ seperti mana yang telah diputuskan dalam mesyuaratnya pada 18 Oktober dan 1 November 2006.

‘‘Lagipun, mengikut amalan sejak sekian lama di negara ini, kalimah ‘Allah’ hanya merujuk kepada Tuhan penganut agama Islam sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1429/2008 yang akan disambut pada 10 Januari ini di sini hari ini.
Acara tahunan kali ini yang bertemakan ‘Menjana Ummah Gemilang’ itu akan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Pada 31 Disember lalu, pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah ‘Allah’.
Bagaimanapun, pada hari yang sama, Timbalan Menteri KKDN, Datuk Johari Baharum menegaskan, sekali pun permit akhbar itu diperbaharui, larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ masih kekal.

Sehubungan itu, Abdullah memberitahu, pihaknya akan memaklumkan secara rasmi kepada KKDN berhubung keputusan tersebut secepat mungkin.

Beliau berkata, selain kalimah ‘Allah’, kalimah solat, Kaabah dan Baitullah adalah dilarang penggunaannya dalam penerbitan agama lain.

‘‘Ia berdasarkan keputusan Kabinet pada 31 Julai 2002,” katanya.

No comments: