24.4.10

Amar Maaruf Tanpa Nahi Munkar

Pelbagai tanggapan yang mengelirukan berlegar-legar di sekitar kita berkaitan dengan topik 'dakwah'. Pelbagai tokoh Islam datang mengemukakan teori berkaitan kaedah dakwah yang berkesan, tersendiri dan dinamik (berhikmat).

Walau pun pendekatan yang diguna pakai adalah berbeza antara satu tokoh dengan tokoh yang lain, namun kita tidak dapat menolak hakikat bahawa segala pendekatan ini perlulah bersumberkan al-Qur'an dan as-Sunnah. Segala perbezaan perlu dirai selagi berpandukan al-Qur'an dan sunnah.

Perbezaan ini adalah akbat daripada kefahaman yang berbeza terhadap nas-nas yang dikemukakan antara tokoh-tokoh itu.

Sebagai contoh, Hassan al-Banna banyak menggunakan pendekatan diplomasi dan politik dalam menggerakkan dakwahnya. Beliau banyak berinteraksi dengan masyarakat Mesir yang hilang arah tujuan dan para pemimpin Islam beraqidah sekular seperti Gamal Abdul Nasser semata-mata untuk membawa Islam dalam khalayak masyarakat yang ketandusannya.

Berbeza pula dengan pendekatan yang diguna pakai oleh Umar bin Abdul Aziz. Baginda, seperti mana khalifah-khalifah Islam yang lain (yang berpegang kepada manhaj al-Qur'an dan Sunnah) berjaya menyebarkan dakwah ke seantero alam dengan menggunakan pendekatan akhlak dan contoh perinbadi yang unggul sebagai penguasa sebuah kerajaan Islam ketika itu selain penguasaan tanah dan harta masyarakat redha, tunduk kepada kekuasaan Islam.

Pendekatan yang berbeza, namun matlamat dan sumber dakwah yang sama iaitu untuk mencari redha Allah dan menggunakan al-Qur'an dan sunnah sebagai pedoman.

.Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran : Ayat 110 :
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk (kemaslahatan ) manusia, kamu menyuruh (mengajak) manusia kepada makruf (kebaikan) dan kamu mencegah dari kemungkaran serta kamu beriman dengan Allah.

Begitu juga dalam ayat 104, surah yang sama:
Dan hendaklah ada di kalangan kamu, satu gulungan yang mengajak (manusia) kepada kebaikan, menyuruh kepada ma’ruf, melarang dari kejahatan dan merekalah orang-orang yang beruntung.

Jadi, tuntunan untuk berdakwah ini, selain merupakan fardhu (wajib) bagi seseorang muslim, tuntutan ini juga dalam mendekatkan diri kita kepada redha Allah s..w.t.

Dalam satu hadith masyhur Riwayat Imam Muslim :
Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah ia merubahnya dengan tangan, jika tidak sanggup maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidah, dan jika tidak sanggup maka hendaklah ia merubahnya dengan hati, dan itulah keimanan yang paling lemah. Dan tidak adalagi keimanan di belakangnya, walaupun sebesar sebutir biji benih.

Jadi, tuntunan untuk berdakwah (menyeru kepada makruf dan mencegah kepada munkar) ini merupakan cerminan kita terhadap iman yang kita miliki dalam diri.


Andai kita memiliki keimanan yang mantap, kita tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan perkara ini kerana berdakwah ini merupakan satu kewajipan kepada setiap individu - bukan terhad kepada golongan tertentu (pegawai jabatan agama negeri) dan tempoh masa tertentu (contoh: zaman salafussoleh saja).

Terdapat peringatan daripada nabi s.a.w. berkaitan tuntunan dakwah ini iaitu dalam hadith riwayat Iman At Tarmizi :
Wahai manusia,sesungguhnya Allah memerintahkan kamu : Kamu sekalian serulah orang mengerjakan kebaikan, dan laranglah mereka mengerjakan kejahatan, sebelum kamu berdoa tetapi Aku tidak mengkabulkannya, dan kamu meminta apa-apa kepada – Ku tetapi Aku tidak memberikannya , dan kamu meminta pertolongan kepada- KU tetapi Aku tidak menolong kamu.

Begitu besar ertinya dakwah itu kepada kita orang-orang muslim. Umat Islam ini merupakan kelompok yang dipakejkan sekali dengan satu amanah berat iaitu amar makruf nahi munkar berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan di atas. Dalam satu hadith riwayat Ibn Majah :

Barang siapa yang menyembunyikan sesuatu ilmu, pada hal dengan ilmu itu Allah akan memberi manfaat kapada manusia dalam masalah agama, maka kelak di hari Kiamat ia akan dikekang dari api Neraka

Jadi, kita sewajar orang yang mengharapkan keredhaan Allah perlulah sedar bahawa tuntutan amar makruf (program-program tarbiyah di Pusat Islam) juga perlu disusuli dengan nahi munkar.

Persoalan : Adakah kita sanggup melihat sahaja pasangan kekasih berpelukan di hadapan mata kita, tanpa melakukan apa-apa sedangkan pada waktu yang sama pentas kritikan dan bingkisan ilmu kita hanyalah ditujukan kepada beberapa kerat orang tidak pernah terfikir untuk melakukannya di Pusat Islam?


No comments: