18.4.10

Aduhai Puteriku Sayang!

NISA' - atau wanita bukanlah satu subjek penting dalam hidupku kecuali yang bergelar muhrim bagiku. Kenangan lalu yang melibatkan wanita (kecuali yang mahram) banyak merunsingkan diriku, sementelahan semenjak sekolah rendah lagi aku diuji dengan wanita. Alhamdulillah, aku masih 'terpelihara' dari sudut batas-batas pergaulan walau pun dugaan wanita ini kadang-kadang 'mencabar kelakianku'.

Pengalaman menyelamatkan dua orang perempuan muda yang berusia ligkungan 18 tahun dua tiga hari lepas benar-benar mengujakanku.

Bukan apa, kedua-duanya enggan untuk dibukakan tudung sedangkan pemakaian mereka sangat ketat dan menarik perhatian lelaki!

Aku menggelengkan kepala mengenangkan segala perkara yang berlaku.

Mujurlah 'sang penyelamat' mereka bukanlah orang yang nak mengambil kesempatan dan kerja-kerja menyelamat dilakukan tanpa melibatkan sebarang  perkara yang 'tidak diingini'.

Kedua-duanya kurasakan memiliki peminat lelaki yang ramai atas anugerah kecantikan yang Allah s.w.t. berikan itu.

Salah seorang daripada mereka pengsan akibat hentakan kepala yang kuat di belakang kereta yang mereka langgar itu (tidak berdarah). Seorang lagi sekadar terseliuh kakinya selain mengalami pening-pening sikit akibat perlanggaran tersebut.

Pada mulanya, kedua-duanya seolah-olah menolak untuk tudung mereka dibukakan, namun seorang kakak yang menjaga mereka terus buka tudung mereka setelah diarahkan oleh seorang lelaki di situ.

Ya, pembukaan tudung atau melonggarkan tudung merupakan salah satu prosedur biasa untuk rawatan awal seseorang yang terlibat dalam kemalangan.Atau lebih tepat lagi, kita perlu melonggarkan seluruh pakaian mangsa untuk menggalakkan pengaliran udara ke dalam badan samada melalui celahan pakaian atau melalui pernafasan (udara dapat mengalir dengan lebih laju ke dalam peparu).

Begitu juga arahan untuk membuka jaket ketat (unzip) yang dipakai oleh salah seorang daripada mereka (gadis yang pengsan) juga dilakukan oleh kakak tersebut. Aku sendiri agak malu apabila jaketnya yang ketat itu dibuka di khalayak ramai.

Begitu juga, baju ketatnya itu turut menampakkan bahagian pusatnya. Aku ambil tudungnya lalu menutupi bahagian perutnya itu. Malunya aku!!!

Seusai membantu mereka (selaku ahli Bulan Sabit Merah Malaysia, aku rasa bertanggung jawab!), aku balik mengenangkan 'fenomena' ini dan menceritakan kepada teman-teman serumahku, "Biasalah zaman la ni. Ko rasa pelik ke?, berlambak kot," bingkas salah seorang teman.

Ya, budaya pemakaian ketat terutama dalam kalangan muslimah semakin tinggi. SEMAKIN TINGGI! Apa yang mereka fikirkan sebenarnya? Seronokkah tubuh menjadi santapan lelaki-lelaki yang 'tidak sihat mentalnya' itu. Aku kian keliru apakah yang difikirkan oleh muslimat-muslimat ini.

Kemudian, datanglah beberapa dalil daripada al-Quran dan hadith yang menceritakan tentang aurat wanita ini.

Nas pertama:

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah An-Nur:31}


Nas Kedua

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]


Nas Ketiga

“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung (khimar) ke dadanya dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa tampak pada dirinya.”

(Surah An-Nur ayat 31)


Nas Keempat

“Jika seorang anak wanita telah mencapai usia baligh, tidak pantas terlihat dari dirinya selain wajah dan kedua telapak tangannya sampai bahagian pergelangannya.”(Hadith Riwayat Imam Abu Daud daripada Qatadah).


Nas Kelima

Imam Baihaqi juga meriwayatkan hadith yang berasal dari pertuturan Asma’ binti Umays. Ia bertutur demikian:

“Rasulullah saw pernah masuk ke kamar Aisyah binti Abu Bakar, sementara ia bersama dengan saudaranya Asma’ binti Abu Bakar, yang saat itu sedang mengenakan pakaian tipis yang bahagian lengannya longgar.

Ketika Rasulullah saw melihatnya, beliau segera bangkit dan kemudian keluar kamar. Aisyah lantas berkata sambil mengikuti Rasulullah saw. Rasulullah tampak seperti melihat sesuatu yang tidak disukainya sehingga Aisyah pun menghampirinya. Akan tetapi kemudian, Rasulullah saw masuk kembali. Baginda lantas ditanya oleh Aisyah, mengapa baginda sampai bangkit dan keluar? Baginda kemudian bersabda ‘Tidakkah engkau melihat keadaannya? Ia seperti bukan wanita muslimah yang seharusnya hanya menampakkan ini dan ini.’

Baginda berkata demikian seraya mengambil kain dan menutupkannya pada kedua tangannya sehingga yang tampak hanya jari-jemarinya. Baginda melilitkan kain tersebut dengan kedua tangannya ke arah kepalanya hingga yang tampak hanya bahagian wajahnya.”


Perbahasan ulama tentang aurat wanita

Khilaf ulama' dalam mentafsirkan kalimah `auNisaa' ihinna' dalam ayat 31 surah anNuur (24).

Menurut Tafsir Fakhrur_Razi, Jld 23, ms 207 menyatakan jumhur ulama' mentafsir kalimah itu sebagai wanita-wanita Islam sahaja. Dari tafsir Qurthubi (Jld 12, ms 233) juga mentafsirkan kalimah "aunisaa'ihinna" itu sebagai wanita muslimah sahaja.

Ini bermakna aurat wanita di hadapan wanita bukan Islam ialah muka dan dua tapak tangan. Imam Qurthubi membawa hujah perintah Umar alKhattab RA kepada Gabenornya, Abu Ubaidah alJarrah supaya tidak membenarkan wanita Islam mandi bersama wanita ahli Zimmah di permandian awam.

Pandangan yang agak berlainan dari pandangan jumhur ialah pendapat Ibn Arabi (Ahkamul Qur'an, Jld 3, ms 326)  beliau berpendapat maksud `aunisaa'ihinna' (wanita mereka) itu bermaksud semua wanita yang baik akhlaqnya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubunan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Syaikh Ali Asyhabuni (mufassir baru dari Saudi (Tafsir Asyabuni) menyokong pendapat Ibn Arabi.

Peringatan kepada semua

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." {Surah Al-Ahzab:36}

Maka, taatilah Allah s.w.t. dengan sepenuhnya..

No comments: