3.11.10

Aktivis Dakwah Perlu Turun ke Lapangan

'Budak Surau'

"'Budak surau' ni jenis anti-sosial. Depa (mereka) ni jenis yang tidak suka bergaul dengan orang, sukar menyesuaikan diri dengan orang lain, tidak mesra. Tahulah kita ni siapa. Kita pergi surau pun mereka pandang semacam sahaja. Tambah pulak tegur kesalahan kita macam nak 'cari pasal'. Kita nak buat baik salah, nak buat jahat pun salah. Mereka berlagak, macamlah alim sangat.

Saya rasa abang patut tegur semua 'budak surau' ini. Kalaulah macam inilah perangai depa (mereka) sampai bila-bila pun orang takkan suka datang surau," kata salah seorang teman seumur denganku, namun berlainan batch (dia batch junior daripadaku). Dia merupakan seorang yang kukagumi atas ketegasannya, mengambil jurusan muzik di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampusku ini.

Aku tersenyum seakan mengiyakan luahan perasaannya itu.

Ya, benar. Mungkin ada kebenarannya perkara ini. Sepanjang keterlibatanku dalam Biro Agama & Kerohanian, aku dapat merasakan bahawa imej biro ini tidaklah 'seindah' legasi Islam yang cuba dibawanya ke dalam masyarakat kampus.

"Orang tak suka dah pendekatan paksaan dalam biro agama ini. Mereka tidak suka dipaksa datang ke surau atau datang program biro agama. Lain kali, mungkin kita jangan 'paksa' mereka datang. Kalau mereka nak datang, datanglah. Kalau taknak datang, tak payah datang," satu cadangan yang mungkin dirasakan bernas oleh salah seorang anak usrah TeSL-ku.

Aku tersenyum lagi mengimbau cadangan 'bernas' daripada adik usrahku ini. Mungkin pandangan beliau betul dari sudut pelatih guru yang baru berada tidak sampai satu semester di IPG ini, mungkin juga telahan beliau silap.

Pendekatan Kurang Sesuai

Namun, aku secara peribadi dapat merasakan beberapa perkara yang wajar para aktivis mahasiswa Islam untuk renungkan.


  1. Pendekatan yang digunakan kurang berkesan dalam menarik masyarakat ke dalam program agama anjuran biro. Contohnya, mungkin kaedah 'ceramah' kurang berkesan dalam menarik kehadiran masyarakat IPG kepada program yang membawa mereka kepada agama. Maka, pendekatan lain perlu digunakan berdasarkan persekitaran masyarakat massa dalam menyampaikan risalah Islam itu ke dalam masyarakat.
  2. Pendekatan 'paksaan' perlu ditukarkan kepada 'desakan'. Kaedah kita mencatat kehadiran pelatih guru untuk disemak kadang-kala perlu dinilai semula dari sudut keberkesanannya. Kaedah 'desakan' ialah kaedah meletakkan mereka dalam situasi yang sangat mendesak untuk dilakukan. Sebagai contoh, jika para pelatih tidak hadir dalam program anjuran biro agama, dia akan didenda. Mungkin, kita boleh menggunakan pendekatan tolak markah sahsiah dalam subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asian Tenggara (TITAS) wajib pelatih guru lulus semasa berada di persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) ini.
  3. Aktivis mahasiswa menggunakan pendekatan yang 'menarik' dalam menarik khalayak kepada Islam. Sekarang ini, perkara yang banyak dibangkitkan berkaitan 'budak surau' dan 'bukan budak surau' ini ialah 'budak surau' tidak aktif dalam bersukan. Maka, perlulah 'budak surau' ini bersukan! Begitu juga dikatakan bahawa 'budak surau' ini jenis yang 'anti-sosial'. Maka kita perlulah mengadakan banyak lagi program sosial berteraskan syara'. Begitu juga berkaitan muzik. "Budak muzik tidak layan muzik!," kata seorang teman. Ayuh, kita sama-sama mempelajari gitar, dram, bass dan keyboard dan kemudian buat band! Kita tonjolkan kesyumulan Islam. Tidaklah pula akan lahir golongan masyarakat yang mengandaikan bahawa mereka perlu 'membuat pilihan' antara menjadi 'budak surau' atau seorang atlet, seorang pemuzik, atau pun bersosial! Tunjukkanlah kesyumulan Islam!
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk". (Surah an-Nahl: ayat 125)

Cabaran Dalam Berdakwah

"Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah berbuat mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu". (at-Taubah:112)

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan penentangan yang berlaku terhadap badan-badan dakwah adalah disebabkan oleh masyarakat yang leka tidak mahu membuat perubahan dari sudut iman dan amalan mereka. Mereka menentang golongan yang membawa risalah agama bukanlah disebabkan oleh hal-hal teknikal seperti kurang selesa dengan pendekatan yang diguna pakai oleh badan-badan dakwah ini, namun mereka menentang golongan 'budak surau' ini disebabkan oleh perasaan iri terhadap perjuangan Islam.

"Senantiasa ada segolongan dari umatku yang memperjuangkan kebenaran, tidak membahayakan mereka orang yang menghinakan mereka sehingga datang keputusan Allah," (H.R. Muslim).

Hal ini merupakan sunnatullah bagi kelompok yang membawa risalah Allah pada akhir zaman ini.Golongan ini cuba menarik masyarakat Islam kembali kepada Islam yang sebenar. Hakikat ini diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam satu hadith:
"Hari Kiamat belum akan tiba sehingga kelompok-kelompok dari umatku mengikuti  orang-orang musyrik dan sehingga kelompok-kelompok dari umatku menyembah berhala-berhala," (H.R. Abu Dawud, Muslim; sahih).

Situasi masyarakat Islam berpaling daripada agama merupakan satu hakikat yang perlu diterima oleh golongan dakwah sebaiknya. Satu realiti.

Golongan yang Asing

"Sesungguhnya Islam pada permulaannya asing dan akan kembali menjadi asing seperti pada permulaannya. Maka keuntungan besarlah bagi orang-orang yang asing," (H.R. Muslim)

Dalam riwayat lain disebutkan,

"Dan keuntungan besarlah bagi orang-orang yang asing, iaitu orang-orang yang (tetap) berbuat baik ketika manusia sudah rosak," (Abu Amr dengan sanad sahih: Al-Albani).

Hadith-hadith ini menjadi jawapan kepada segala kerisauan dalam hatiku berkaitan dengan isu 'budak surau' ini. Memang benar 'budak surau' tetap manusia, wajib ada kelemahan. Namun, kelemahan yang mereka ada itu janganlah dijadikan penanda aras untuk membuat keputusan membabi buta bahawa 'budak surau' adalah teruk dan tidak bertamadun!

Jadi, inilah 'gula-gula' bagi golongan yang cuba menegakkan agama Allah di muka bumi ini dalam menghadapi kemelut masyarakat massa dari sudut badai fitnah dan tohmahan yang melanda. Satu ingatan kepada golongan yang cuba mengangkat kalimah Allah di muka bumi ini : "Jangan putus asa kerana janji Allah adalah benar,"

Penutup

Aku teringat tentang nasihat Lukmanul Hakim kepada anaknya dalam Surah Luqman, ayat 17 : "Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuklah hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)," 

Kesimpulannya, aktivis mahasiswa perlulah istiqamah dalam perjuangan ini dan rangkalah strategi dengan sebaiknya bagi memastikan kalimah Allah berada setinggi-tingginya di bumi. Aktivis mahasiswa perlulah menguasai masyarakat. Moga-moga semua pihak terkesan dengan dakwah yang dibawa oleh kita ini.
Maka, istilah 'budak surau' - 'bukan budak surau' tak akan wujud lagi dalam masyarakat kampus kita. 


2 comments:

Dx said...

wasilah,stratyegi, pendekatan ,kaedah ,teknik,

adalah perkara yang sentiasa bermain dalam jiwa dai'e ...

pendekatan berhikmah...

pendekatan yang bijaksana...

sesuai dengan waqi' serta Thabat wa Murunahnya

AHMAD ZHAFRAN BIN MD NOOR said...

InsyaAllah. Sekadar renungan bersama. Mungkin boleh dijadikan penambahbaikan bagi gerak kerja mana-mana persatuan Islam kampus selepas ini. Harap membantu.