28.10.10

Dakwah kepada Bukan Muslim

Pengenalan 


Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125).


Sheikh al-Sabuni ketika menafsirkan ayat itu, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah-lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela.

Ulama dakwah mengklasifikasikan hikmah kepada beberapa jenis, iaitu hikmah mengenal status manusia, memilih masa sesuai, mencari titik pertemuan sebagai tempat bermula untuk maju secara sistematik.



Melayu atau Islam?


Melayu itu Islam. Seperti mana termaktub dalam perlembagaan. Merujuk kepada akta 160 perlembagaan Malaysia, takrif Melayu ialah seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu. 


Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-galanya termasuk maruah dan keperibadiannya. Sebarang usaha menanggalkan Islam juga bererti menghilangkan nilai kemelayuan itu sendiri. Itulah Melayu berdasarkan perlembagaan negara.


Namun, ISLAM TIDAK SEMESTINYA MELAYU. Diulangi, Islam tidak semestinya Melayu. 


Kadang2 sentimen "Melayu itu Islam" sangat mengganggu gugat gerakan dakwah kepada bukan Melayu kepada Islam. Imej Melayu yang tercalar dari sudut gejala sosial, perpecahan politik, akhlak buruk, rasuah, dan sebagainya ini seolah-olah menjadi dinding penghalang antara orang bukan Islam dengan Islam disebabkan Islam itu 'sinonim' dengan Melayu walau pun Melayu itu ramai tak solat.


Pengalaman Peribadi


Teringat masa 'muda' semasaku belajar di SIC (Sultan Ismail College), Kota Bharu, Kelantan dahulu. Aku agak rapat dengan seorang rakan sekelasku, seorang Hindu. Dia seorang pelajar yang pandai, banyak membaca dan banyak mengkaji. Suka mengemukakan persoalan dan mengutarakan pandangan merupakan antara hobi masa lapangnya. Selalu menjadi mangsanya adalah aku. Banyak persoalan agama dikemukakan. Aku hanya menjawab perkara yang aku tahu, banyak juga yang aku tak tahu jawapannya ketika itu. Aku tersenyum mengenangkan teletahnya. Semoga dia diberi hidayah oleh Allah untuk menerima Islam.


Teringat juga kepada teletah Ng, Teng, dan Rama di sekolah yang sama yang mesra berjabat tangan , dan kadang-kadang memberikan salam kepadaku apabila kami bertemu di tempat-tempat terbuka. Suasana mahabbah (kasih-sayang) terasa walau pun berbeza kaum dan agama.


Teringatku akan satu ayat dalam surah al-Hujurat, ayat 13 : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”


Teringat pula pengalamanku semasa belajar di MRSM Beseri, Perlis semasa berada di Tingkatan 4. Rakan sekelasku, Vallerie namanya, seorang yang suka mengkaji dan mendalami agama-agama di dunia. Ironisnya, aku banyak bersembang dia berkaitan kepercayaannya kerana dia, walau pun seorang penganut Kristian yang taat, namun tidak mengetahui mazhab-mazhab lain selain Katholik, Methodist, dan Angelican. Bahkan, dia sendiri tidak memahami hakikat agamanya sehinggakan aku terpaksa memberikan naskah bibble King James-ku kepadanya.


"Awak belajar dahulu agama awak, barulah kita akan berbincang lagi tentang agama Islam. InsyaAllah,"


Coretku pada sehelai kertas sebelum majlis perpisahan terakhir kami. Aku telah membungkus bibble itu dengan sehelai kertas surat khabar, dimasukkan di dalam plastik dan ditulis nota tersebut. Aku tidak mengetahui adakah bibble pemberianku itu 'selamat' sampai kepadanya.


Itulah sedikit pengalamanku semasa di bangku sekolah menengah dahulu. Kini, setelah berada di IPG ini, aku cuba mengaplikasikan serba sedikit pengalaman yang ada untuk cuba mengajak bukan Islam mendekati Islam. Namun, pada waktu yang sama aku sama sekali tidak akan melupakan tanggung jawabku untuk menyeru orang Islam sendiri ke dalam Islam. Pelik bukan? Mengajak orang Islam ke dalam Islam. InsyaAllah. Akan aku ulas dalam penulisan yang akan datang.





No comments: