5.9.10

Belasungkawa Kehidupan : Rock, Dakwah, dan Wanita




Medan Usrah

"Ana sangat meminati muzik yang dimainkan oleh band XPDC, Amuk, Sum 41, Cromok, dan Metallica. Ana juga pernah meminati imej K.I.S.S., Black Sabbath dan System of A Down," ujarku dalam satu pertemuan ilmiah liqa' usrah di IPG-ku tidak lama dahulu.



Kesemua adik usrahku terkejut. Kemudian mereka ketawa sendiri. Mungkin percaya...mungkin...

Ya, bagi pihak yang buta muzik, senarai nama band di atas yang baru sahaja aku kemukakan tadi merupakan band yang sangat masyhur dalam kalangan penggemar muzik metal; thrash, hard, heavy dan black metal. Kalau ada yang mengatakan mereka tidak pernah mendengar nama-nama ini sedangkan mereka mendakwa mereka peminat muzik metal ; maka 'metal' yang mereka katakan itu bukanlah 'metal' tetapi 'dangdut'!

Dahulu, aku sangat meminati muzik-muzik ini. Ditambah lagu-lagu rock 80-an dan 90-an, sangat menusuk jiwa, beb!

Rolling Stone dan majalah-majalah hiburan barat kutatap (Mangga, Hiburan, sorry) untuk menambahkan ilmu di dada.

Namun, kini, jiwaku semakin 'kurang' melayan lagu-lagu seumpama ini; sementelahan Allah telah tunjukkan jalan yang terbaik buatku dalam mengajak masyarakat ke arah Islam.

Teringat kenangan semasa belajar di Maktab Sultan Ismail (SIC) beberapa tahun lepas, aku bukanlah orang yang bernama di sana namun aku agak rapat dengan ramai 'otai-otai' di sana. Coupling, syisya, ponteng, khianat dan pergaduhan merupakan satu epilog diari harian biasa bagi 'otai-otai' di sini.

Berbeza dengan persekitaranku di kampung halaman, Kampung Nilam Puri, sebuah pusat ilmu di Kelantan dengan keberadaan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM) matrikulasi. Aku dibesarkan dalam persekitaran muslimin yang sentiasa berkopiah, muslimah bertudung labuh dan agak 'jarang' isu ikhtilat kedengaran membabitkan penuntut kedua-dua buah institusi (walau pun sebenarnya ada).


Itulah dunia aku dibesarkan!

Tambah-tambahan keluarga aku sangat menitik beratkan soal agama; solat, ikhtilat, akhlaq dan ilmu, maka aku diajar untuk mengenal apa itu Islam seawal 3 tahun lagi.

Pemikiran kritis yang diajar di rumahku menjadikan aku tidak mudah menerima satu kenyataan kecuali dibuktikan kebenarannya, walau pun kerap kali 'ditipu' oleh teman-teman, sekadar gurau senda.

Itulah dunia aku dibesarkan!

Namun, minat yang mendalam terhadap muzik-muzik ini tidaklah sampai aku mengenepikan amalan-amalan wajib seperti solat. Alhamdulillah, Allah bagi kekuatan kepadaku untuk menjadi bilal 'tak bertauliah' di kampungku.

Begitu juga kehidupanku selama 3 bulan di Kolej MARA Kulim. Alhamdulillah, aku antara penggerak 'Skuad Amru' di sana walau pun 'dunia rock' masih menjadi igauan dalam hidupku. Aku mendaftarkan diri di KMK adalah untuk sementara untuk menunggu tawaran masuk ke IPG, namun, arah menjadi seorang rocker masih menebal dalam diriku. Bertentangan dengan hasrat kedua orang tuaku untuk melihatku menjadi seorang guru. Pilihan yang sangat mengelirukan.

Suatu ketika aku berbisik di dalam hati, "Sampai bilakah lagi aku mahu jadi begini? Hidup bermuka-muka, tidak keruan dan hilang erti makna diri. Manakah hala tuju hidupku? Adakah seorang rocker atau seorang guru biasa," aku kaget dan tak keruan.

Kedua-duanya memainkan peranan yang 'benar' dalam dakwah. Aku teringat, andai aku bergelumang dalam medan rock, aku boleh menunjukkan 'tauladan yang baik kepada masyarakat' , "Rock-rock jugak, solat jangan lupa!," bak kata seorang temanku. Takkan tiada rocker yang positif di mata masyarakat?



Punca Kecelaruan Fikrah

Wanita. Ya, wanitalah punca kecelaruan fikrah yang melanda diriku selama ini. Aku meminati muzik bersifat protes ini pun kusuka menjadikan wanita sebagai puncanya. Maaf, berikanlah aku peluang untuk menjelaskannya.

Pengalamku dalam cinta monyet hampir tiada. Aku mempunyai beberapa kriteria yang khusus dalam memilih wanita yang terbaik untuk menjadi teman dalam hidupku. Feminin, bersifat keibuan, keturunan yang baik dan memiliki rupa paras yang tenang di hatiku. Paling utama, solehah yang mampu menemaniku kepada Tuhanku yang satu.

Perkenalanku dengan ramai wanita yang memiliki  sifat ini menyebabkan diriku lebih berhati-hati dalam memilih wanita; bukan semua bulu biri-biri berwarna putih! Ramai yang sekadar uban sahaja!

Alhamdulillah, kutelah temuinya.

Namun, luka parah yang disebabkan wanita ini sebenarnya membekas dalam hatiku. Cuba bayangkan wanita itu menonjolkan sifat-sifat yang kita dambakan dalam hidup kita, kemudian, suatu ketika kita mendengar berita yang boleh dipercayai atau mata kepala kita sendiri bahawa 'kecantikannya' itu hanyalah mekap setebal 2 inci!

Maka, kita berundur diri kerana merasakn diri diperbodohkan dan terpaksalah aku 'membujang', seperti mana istilah teman-teman daripada SIC bagi orang yang masih tidak bercouple.


Maka, kulihat rocklah sebagai penawar bagi kedukaan ini (baru aku merasakan bahawa muzik keras ini merupakan cetusan perasaan bagi penggubahnya, e.g. tengoklah lagu rock 80-an dan kebanyakan muzik Metallica!)

Walau pun kucuba digosipkan dengan beberapa orang kenalan wanita, perkara itu hanyalah sekadar gosip dan tidak lebih daripada itu. Bahkan, ada kes 'angan-angan' daripada wanita itu sendiri. Aku jugak yang jadi mangsanya!

Selain itu, protes tetap protes. Protes terhadap gejala sosial yang kurasakn berpunca daripada wanita. Wanita lagi!

Wanita Lagi!


Namun, setelah aku mengenali Islam secara syumuli, aku dapat merasakan ketenangan dalam hidup. Peluang untuk berkenalan dengan konsep usrah di KMK serba sedikit memberikanku pendedahkan berkaitan Islam yang 'sebenar' - secara jamaa'i dan ruhiy.

Wanita menjadi subjek sampingan dalam hdiupku setelahku menceburkan diri ke dalam gerakan mahasiswa di IPG. Tugasan sebagai Timbalan Exco Agama & Kerohanian sangat membebankanku, namun adakah kuingin harapkan temanku yang lain sedangkan surau IPG tiada yang imarahnya selain aku dan seorang lagi temanku, Ehsan! Bermulalah kepimpinan yang memeritkan dalam hidupku.

Jiwa rockku semakin berkurangan, alhamdulillah!

Cubaan


Setelah menginjakkan kakiku di IPG, aku diuji dengan pelbagai kesulitan yang akhirnya membawaku mengenal diriku yang sebenar.

Pelbagai dugaan mematngkan hidupku; segala cabaran, dugaan dan gosip kutanggapi dengan perasaan suka. "Inilah perjuangan!," Pernahku diherdik semata-mata mengawal konsert konvokesyen yang dianjurkan oleh Unit Pendidikan Muzik, pernah!

Apakah yang nak diharapkan daripada orang yang tegas ini dalam menegakkan kalimah Allah di IPG ini. Cacian, makian, aku dan teman-temanku hadapi dengan terbuka, dan kami seia sekata dalam menghadapi dugaan yang perit ini.

Ketika inilah jiwa rockku terhakis. Benar-benar terhakis kerana memikirkan diriku harus 'satu', menuju matlamat yang satu.

Dunia Indah Menipu


Rock, dakwah dan wanita : ketiga-tiganya berbeza namun boleh disatukan menjadi sebuah cerita. Inilah kehidupan, inilah perjuangan. Andai kita leka walau pun sedetik, tunggulah kehancuran kita!

Dugaan 'tiga serangkai' ini mamberikan impak yang tidak kurang hebatnya kepada diriku. Pengalaman inilah yang mengajarkanku erti kehidupan. Kehidupan seorang manusia dan kehidupan seorang manusia yang mengenal siapa Penciptanya.

No comments: