14.2.10

Indahnya Hidup Bersama Islam

"Zhaf, apa yang kaudapat dengan aktif dalam Biro Agama ni? Pelajaran terganggu. Kau ni tak tau ke mana yang lebih penting?," ujar seorang temanku tatkala kelapangan selepas menunaikan solat secara berjemaah.

Aku tersenyum. Namun, mencuka kembali. Ada benarnya kata-kata sehabatku itu. Tidakku nafikan. Namun, peringatannya itu membawaku beberapa tahun kebelakangan iaitu semasa aku sedang menuntut di Maktab Sultan Ismail (SIC), sebuah sekolah primier yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Sekolah ini tidak dinafikan telah berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh berketerampilan di negara kita seperti YB Husam Musa, Exco Kerjaaan Negeri Kelantan, YB Mustapha Muhammad, seorang menteri kabinet, Dato Pahamin Rajab, bekas Pengarah AirAsia, Dato Ismail, pengasas Twintech dan tokoh akademik yang buta kedua belah matanya dan sebagainya.

Namun, keberadaan Islam di sekolah ini bukanlah satu perkara yang menjadi kebiasaan. Program di sekolah ini seperti mana sekolah-sekolah menengah harian biasa yang lain, tidak diberi penekanan terhadap pengamalan Islam. Maka, akhlak yang ditonjolkan oleh pelajar di sini hanyalah sekadar tarbiyah umum (seperti penutupan pusat-pusat maksiat, kebanjiran program-program kefahaman Islam, pengamalan cara hidup berteraskan al-Qur'an dan Sunnah dalam kalangan masyarakat) yang didapati melalui konsep "Membangun Bersama Islam" kerajaan negeri Kelantan.

Hidayah Allah telah mempertemukan aku dan kembarku Zhafri dengan beberapa teman yang sama-sama berminat dalam mebicarakan perihal agama di sini.

Fahmi dan Iqbal, merupakan dua nama yang terus terpahat di hatiku sebagai teman yang sentiasa membawa diri kami kepada diskusi tentang agama yang panjang lebar. Fahmi, sekarang sedang mengikuti program perkapalan tentera di sebuah akademi tentera kendalian kerajaan Malaysia manakala Iqbal sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang farmasi di sebuah IPTS Masterskill di ibu negara.

Kamilah yang sama-sama memberi pengisian antara satu sama lain dan perkara inilah yang memberi pengalaman 'usrah' yang pertama dalam hidupku, semasa berada dalam Tingkatan 5.

Minat kami yang mendalam dalam agama walau pun tidak pernah mendapat pendidikan yang formal dalam bidang agama mendorongku dan kembarku berani untuk mencabar kelemahan kami ini. Membina kekuatan berdasarkan kelemahan yang dimiliki.

Pengalaman hidup semasa remaja banyak membentuk pemikiran kritis kami sehinggalah kami melibatkan diri secara aktif dalam bidang dakwah di kampus masing-masing. Zhafri tetap tegar di Pulau Pinang dan aku sekadar membawa legasi Islam bersama-sama teman tercinta di IPGku di Perak.

Suka duka dalam perjuangan ini banyak berpandukan pengalaman silamku sebagai seorang pemain ragbi dan sofbol, selain meminati Metallica dan Amuk, serta meminati kuliah-kuliah agamadan perbandingan agama. Perkara-perkara tersebut banyak mencorakkan pemikiranku dan kembarku dan kami redha terhadap segala ketentuan Allah.

Pengalaman jahiliyah banyak mengajar kami erti kehidupan yang sebenarnya. Kami pernah merasai peritnya hidup dalam jahiliyah.

Kehidupan seharian kami kini banyak dihabskan dengan menghadiri kuliah akademik, kuliah tafaqquh fiddin , liqa usrah, membaca dan bertukar-tukar fikiran dengan sahabat sefikrah Islam yang lain.

Keberadaanku dalam Ikatan Kerohanian JPP Zon Utama juga banyak menggerakkan mindaku untuk menghayati Islam dalam aspek kesyumulannya, pelbagai arah, bukan dari satu sudut sahaja.

Pertanyaan sekali gus komentar yang diluncurkan oleh temanku itu membuatkanku senyum semua. Sementelah legasi Persatuan Guru Pelatih Islam (PGPI) yang telah berkubur sedekad yang lalu, membawaku berangan-angan memulakan nafas Islam yang baru di IPG Kampus Ipohku ini.

Bukanlah kuhendak memulakannya, namun sekadar untuk menyambung tali-tali rantai untaian perjuangan daripada generasi terdahulu. Aku bangga memahat diriku sebagai salah satu daripada rantai perjuangan Islam di IPG ini.

1 comment:

AHMAD ZHAFRAN BIN MD NOOR said...

Sekadar perkongsian jiwa dalam menghadapi masa hadapan yang sungguh sukar dan mecabar.