2.9.11

"Sukarnya nak Bawa Islam..."

"Sukarnya nak bawa (tegakkan) Islam..." keluh seorang pakcik tua di sebelahku.

"Ya, kenapa pakcik?," balasku seumpama ingin menyusup ke dalam hatinya.

"Itulah...pakcik tengok sukar nak bawak Islam ni. Kita tengoklah masyarakat kita la ni tak nak kepada Islam. Nak salah kepada deme (mereka) tak bleh juga pasal pemimpin pun kacau bilau...," bingkas pakcik itu seumpama seorang pemidato melontarkan hujahnya.

"Ya, pakcik. Tengoklah anak muda la ni. Yang datang ke kuliah ni pun tak ramai orang muda, (hampir) kebanyakannya orang yang berumur. Nilah negara kita pakcik....," telahanku sekadar menyatakan pandangan selain ingin menerka secara mendalam pemikiran pakcik ini.

"Isy, betul tu. Dunia...dunia....," geleng kepala pakcik itu. Keluar satu keluhan kuat dari dadanya membayangkan keperitan menjarah fikiran dan hati nuraninya tatkala memikirkan suatu persoalan ummah. Bukan apa dan siapa, dia orang tua. Perlu banyak berehat dan khatam Quran sekali dua lagi namun persoalan sebesar ini yang difahami dan dicerna oleh orang yang 'tak punya apa-apa'. Dia boleh saja menghabiskan masanya di pondok buruknya mengaji al-Quran atau pun mendodoikan cucunya di rumah yang serba indah, namun dia memilih untuk berpanas hujan di tempat ceramah ini semata-mata bagi menghindarkan dirinya tidak ketinggalan dalam isu-isu ummah. 



 

Benar. Sungguh sukar kulihat para pemuda/i yang sanggup menginfakkan masa di dalam mana-mana madrasah tarbawi di kampus dan luaran. Mujur saja banyaknya persatuan mahasiswa Islam di kampus yang cuba bangkit memberikan kesedaran kepada para pemuda ini tentang Islam. Hendak diharapkan 'orang atas', "ukur baju di badan sendirilah!" .

Kesempatan bertemu sekerat dua pemuda di mana-mana majlis ilmu biasanya diambil kesempatan olehku untuk beramah mesra, membina ukhwah. Langkah seterusnya, andai ada sedikit masa, akan kutanam fikrah Islam yang syumul dalam dirinya barulah disusuli dengan pendidikan secara berperingkat-berperingkat.

Hendak dilihat pemimpin masa depannya, lihatlah anak muda mereka sekarang ini. Pepatah ini amat dihayati dan difahami oleh puak penjajah dan penjarah bagi memastikan kesinambungan legasi mereka di mana-mana dunia Islam yang pernah mereka bertapak. 

"Gospel, Gold, Glory" menjadi slogan perjuangan mereka dan setakat ini para penjajah British ini telah berjaya dari sudut misi dakyah agama mereka.

Ya, benar. Freemasonry, imperialis, oppurtunis dan orientalis masing-masing berpadu tenaga bagi memastikan Islam hanya terletak pada bibir  dan pakaian seseorang Islam. Mereka berjaya! Generasi muda sekrang ini sudah disemai aqidah mereka, iaitu aqidah sekular.

"Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup (agama) mereka." (Al Baqarah: 120)

 Tengoklah...mereka bertudung litup atau bersongkok namun akhlak teruk! Mereka mungkin menjadi Imam Besar di kediaman namun keluarga tidak berpakaian kerana mendedahkan aurat. 

Puncanya, generasi muda disibukkan dengan ilmu agama yang dangkal penghayatannya. Ilmu agama dikira berdasarkan prestasi dalam peperiksaan, selain mereka ditekankan dari sudut fekah menenggelamkan penghayatan terhadap aqidah. Bahkan, andai diberikan soal kajian kepada generasi muda ini apa yang dia faham tentang Islam, mungkin jawapannya ialah : "Maulidur Rasul, Raya 30 hari dan nasyid,". Begitu rendahnya pemkiran ummah malah kurang berharganya maruah Islam andai Islam dinilai berdasarkan perkara-perkara picisan ini!

Benarlah kata Rasulullah s.a.w.  “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (H.R. Muslim)

Generasi penuda yang berfungsi dengan baik selaku pengubah dalam masyarakat berdasarkan kemampuan fizikal, akal dan kemahuan hendaklah disemai dengan aqidah yang syumul. Sebarang pendekatan dalam mendidik anak muda mengenal agama mereka hendaklah dimulakan dari sudut aqidah dan disusuli dengan kewajipan menegakkan amar makruf nahi munkar. Pendekatan itu sesuai sejajar dengan kaedah pentarbiahan yang diperkenalkan oleh Nabi s.a..w. dalam membentuk masyarakat Islam yang progresif dan berkredibilti serta berkualiti dalam membawa risalah Islam.

Teringat satu hadith nabi s.a.w. diriwayatkan oleh Imam Muslim :


“ISLAM BERMULA DALAM KEADAAN DAGANG (asing) ,IA AKAN KEMBALI DAGANG (asing) .BERUNTUNGLAH ORANG YANG BERPEGANG DENGAN ISLAM KETIKA IA DAGANG.”

No comments: