1.6.10

Firqah Bathil : Islam Liberal

Pengenalan


Sebagai agama wahyu yang terakhir untuk manusia sejagat, Islam amat mementingkan sifat keaslian dan ketulenannya. Ini kerana selepas Islam tidak akan ada sebarang agama baru yang bakal diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk membetulkan apa-apa pencemaran yang berlaku ke atasnya. Pencemaran yang dimaksudkan adalah apa-apa penambahan, pengurangan, penukaran, pembatalan dan penyelewengan ke atas ajaran-ajaran Islam. Atas kepentingan inilah Islam sentiasa memberi peringatan kepada umatnya daripada merekacipta apa-apa bid‘ah yang bakal mencemari keaslian dan ketulenannya.

Namun dari dahulu sehingga kini terdapat sebahagian umat Islam yang cenderung untuk mereka cipta bid‘ah-bid‘ah ke dalam agama Islam. Secara umumnya umat Islam ini dan jenis bid‘ah yang mereka cipta boleh dibahagikan kepada dua sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):

“Bid’ah itu ada dua jenis, yang pertama berkaitan dengan perkataan dan iktikad, (yang kedua) berkaitan dengan perbuatan dan ibadah. Bid‘ah jenis yang kedua mencakupi jenis yang pertama sebagaimana bid‘ah jenis pertama akan mendorong kepada terjadinya jenis yang kedua.

Orang-orang yang berilmu, pemikir dan orang-orang seumpama yang mengikuti mereka, dikhuatiri jika mereka tidak berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah akan terjerumus ke dalam bid‘ah jenis yang pertama. Sedangkan orang yang rajin beribadah, pemikir, berkemahuan keras dan orang-orang seumpama yang mengikuti mereka, dikhuatiri jika mereka tidak berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah akan terjerumus ke dalam bid‘ah jenis kedua.

……Maka sedia diketahui bahawa bid‘ah (jenis pertama - perkataan dan iktikad) kerosakannya adalah lebih kuat dan para pembuatnya adalah lebih ‘berakal’ sedangkan bid‘ah (jenis kedua – perbuatan dan ibadah) para pembuatnya adalah lebih jahil dan mereka berada jauh daripada mengikuti (sunnah) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam” [Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2002), jld. 22, ms. 306-307 & jld. 19, ms. 275]

Antara bentuk bid‘ah yang lazim direka cipta oleh kelompok pertama adalah membuat ajaran-ajaran baru bagi “membetulkan” Islam, mengunggulkan dalil akal di atas dalil wahyu, mentakwil nas kepada maksud yang dicenderungi oleh kehendak nafsu dan menjadikan Islam pengikut kepada suasana, jauh sekali daripada menjadikan Islam pemimpin kepada suasana. Berdasarkan manhaj di atas, kelompok pertama ini mencipta pelbagai doktrin baru tentang Islam yang jauh berbeza daripada apa yang disepakati oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Kelompok pertama ini sudah wujud sejak kurun-kurun awal Islam dan bergiat aktif sehinggalah ke hari ini. Nama gelaran mereka mungkin berbeza-beza tetapi manhajnya sama sepertimana yang disebut di atas. Antara nama yang masyhur digunakan oleh kelompok pertama ini pada masa kini adalah Islam Moden, Islam Pembaharuan, Islam Bebas dan sebagainya, manakala nama yang masyhur di Nusantara adalah Islam Liberal. Kelompok ini sudah juga wujud di Malaysia dan mereka aktif menyebarkan dakyah melalui media cetak dan elektronik. Sekalipun mereka tidak mengidentitikan diri mereka sebagai beraliran Islam Liberal, kita tetap dapat mengenali mereka berdasarkan manhajnya.

Artikel ini insya-Allah akan membantu para pembaca sekalian untuk mengenal dengan lebih mendalam What, Why, When, Where and How tentang aliran Islam Liberal supaya para tokoh aliran ini dan manhaj mereka dapat kita kenal sekalipun mereka tidak memakai lencana Islam Liberal ketika bercakap dan menulis. Yang lebih penting, pengenalan kepada aliran Islam Liberal akan menjadi perisai ilmu kepada diri kita sendiri supaya tidak terjerumus ke dalamnya.




Apakah Islam Liberal?



Kamus Dewan (DBP. Kuala Lumpur 1994) mendefinisikan perkataan Liberal sebagai “1. (bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik (misalnya menentang hak-hak keistimewaan kaum bangsawan), (fahaman) bebas. 2. bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya).”

Merujuk kepada definisi di atas, Islam sememangnya sebuah agama yang liberal. Ia membebaskan manusia daripada belenggu penyembahan sesama makhluk, bahkan juga membebaskan manusia daripada penindasan, kezaliman dan penghinaan sesama manusia. Islam juga memiliki dasar yang terbuka terhadap peradaban manusia selagi mana ia tidak melibatkan syirik yang menyekutukan Allah, perbuatan yang menyalahi syari‘at-Nya dan kepercayaan kurafat yang merendahkan kedudukan manusia sehingga ke taraf kebinatangan.

Lalu apakah yang dikehendaki dengan gelaran Aliran Islam Liberal? Jawapannya dapat kita lihat sendiri pada penambahan perkataan “Liberal” kepada Islam yang sememangnya sudah liberal. Ertinya aliran ini mengkehendaki ciri keterbukaan dan kebebasan yang lebih daripada apa yang sedia ada dalam syari‘at Islam yang asli lagi tulen.


Kenapa lahir aliran Islam Liberal?



Sejak lebih kurang satu abad yang lepas, terdapat dua fenomena yang banyak mempengaruhi psikologi umat Islam. Pertama adalah fenomena ‘penjajahan’ oleh negara-negara Barat ke atas hampir seluruh negara umat Islam. Kedua adalah fenomena ‘ketinggalan’ dari sudut sains dan teknologi di belakang kebanyakan negara-negara Barat. Apabila berhadapan dengan dua fenomena di atas, sikap umat Islam boleh dibahagikan kepada empat:

Pertama adalah mereka yang merasa putus asa secara keseluruhan dan duduk diam menerimanya sebagai satu ketentuan yang sememangnya merendah dan memundurkan mereka.

Kedua adalah mereka berpendapat agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Justeru untuk menjadi umat yang berkuasa dan maju, Islam perlu dipisahkan daripada kehidupan harian. Formula pemisahan ini yang digelar sekularisme terbukti berkesan mengingatkan bahawa semua negara Barat yang berkuasa lagi maju mempraktikkannya.

Ketiga adalah mereka yang juga berpendapat bahawa agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Namun untuk menyelesaikan faktor penghalang ini, mereka berpendapat caranya ialah membuka dan membebaskan agama daripada ajaran dan tafsirannya yang sekian lama telah menjadi pegangan umat. Kelemahan dan kemunduran umat Islam dianggap berpunca daripada belenggu kejumudan umat dalam menafsir dan mempraktikkan agama Islam. Kumpulan ketiga inilah yang digelar sebagai aliran Islam Liberal.

Keempat, kelompok terakhir adalah mereka yang mengakui akan hakikat kelemahan dan kemunduran yang dialami umat. Namun hakikat ini tidak mereka persalahkan kepada agama atau selainnya kecuali terhadap diri mereka sendiri dan umat Islam seluruhnya yang telah leka daripada berpegang dan mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu untuk kembali kuat dan maju, umat Islam perlu mempelajari, memahami dan mempraktikkan semula secara sepenuhnya ajaran Islam yang asli lagi tulen. Formula ‘Islam Sekular’ atau ‘Islam Liberal’ tidak menjadi pilihan kelompok keempat ini kerana ia bukan cara untuk mencapai kekuatan dan kejayaan yang sebenarnya. Kekuatan dan kejayaan yang sebenar hendaklah diukur dengan necara wahyu Illahi yakni Islam yang berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah, bukan neraca peradaban Barat yang berteraskan materialisme dan hawa nafsu. Golongan keempat inilah yang benar. Insya-Allah dengan kesungguhan mereka, kekuatan dan kejayaan akan kembali ke tangan umat Islam.

Yang paling menjauhi kebenaran adalah kelompok ketiga, iaitu kelompok Islam Liberal. Secara lebih terperinci, kelompok Islam Liberal adalah aliran yang muncul kerana kesan psikologi kekerdilan diri (inferiority complex) yang dihadapi oleh sebahagian umat Islam hasil penjajahan dan kemunduran yang dihadapi oleh mereka. Kesan kekerdilan ini diburukkan lagi dengan sikap tergiur lagi menyembah kepada negara-negara Barat yang menjajah lagi maju sehingga menyebabkan mereka sendiri terasa hina, bodoh, diperbudak dan hilang kejatian serta kebanggaan diri. Semua ini menghasilkan satu rumusan bahawa untuk mencapai kekuatan dan kemajuan, caranya adalah meniru segala formula peradaban yang dipraktikkan oleh negara Barat. Rumusan ini tidak akan berjaya selagi mana tidak dibuka dan dibebaskan tafsiran Islam daripada kejumudan pegangan umat selama ini.




Bagaimana manhaj Islam Liberal?



Aliran Islam Liberal boleh dikenali melalui beberapa manhaj atau ciri-ciri yang semuanya mengarahkan kepada pembukaan dan pembebasan tafsiran agama. Berikut ini akan disenaraikan beberapa manhaj utama mereka yang penulis ringkaskan daripada pelbagai sumber mereka sendiri. Sebelum itu ingin penulis ingatkan para pembaca yang budiman sekalian bahawa sebahagian daripada manhaj yang bakal disenaraikan mungkin merupakan sesuatu yang tidak dapat digambarkan sebagai yang diusulkan oleh orang yang mengaku diri mereka sebagai umat Islam. Namun inilah yang dikatakan sebagai ‘Islam Liberal’, iaitu Islam yang “terbuka dan bebas daripada belenggu tafsiran lama ke arah tafsiran yang baru lagi segar demi kejayaan umat”.



Manhaj Islam Liberal tentang agama Islam.


Aliran Islam Liberal berpendapat agama Islam adalah agama yang benar. Namun pada waktu yang sama aliran Islam Liberal juga berpendapat semua agama selain Islam adalah benar juga. Apabila setiap penganut agama mendakwa hanya tuhannya dan ajarannya sahaja yang betul, itu hanyalah dakwaan yang relatif dalam konteks dia dan agamanya sahaja. Jika dilihat daripada konteks keseluruhan agama, maka semua agama yang memiliki konsep ketuhanan yang mengajar kepada kebaikan adalah sama-sama benar.

Manhaj seperti ini didirikan oleh Islam Liberal dengan tujuan supaya manusia yang menganut agama Islam dapat menggunakan sepenuhnya masa dan tenaganya untuk mencapai kemajuan tanpa dibazirkan kepada usaha membenarkan agamanya sahaja. Manhaj kesamaan antara agama merupakan manhaj utama aliran Islam Liberal. Bahkan ia adalah satu manhaj tersendiri yang unggul memandangkan agama-agama lain di dunia, sama ada yang masih tulen atau yang telah diubah suai, tidak ada yang mendakwa manhaj kesamaan antara agama. Keunggulan manhaj utama Islam Liberal ini bukanlah menunjukkan keistimewaan mereka tetapi sebaliknya menunjukkan keterdesakan mereka mengorbankan segala sesuatu demi mencapai kehendak akal dan nafsu mereka.



Manhaj Islam Liberal tentang al-Qur’an.


Aliran Islam Liberal membahagi wahyu kepada dua ketagori: wahyu bertulis dan wahyu tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Qur’an dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Qur’an berdasarkan tujuan, konteks dan suasana zaman. Maka dengan itu al-Qur’an adalah sesuatu yang hanya bersifat menerangkan tujuan-tujuan agama manakala akal manusialah yang menyesuaikannya selari dengan konteks zaman.


Sebagai contoh, terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Maidah 5:38], tujuan yang sebenarnya dituntut oleh al-Qur’an adalah menjatuhkan hukuman kepada pencuri. Bentuk hukuman boleh berubah-ubah selari dengan peradaban manusia. Di zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, bentuk hukuman adalah memotong tangan. Namun pada zaman kini bentuk hukuman boleh berubah kepada hukuman penjara selari dengan peradaban manusia.


Demikian manhaj ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Qur’an yang dipegang oleh aliran Islam Liberal atas alasan untuk memajukan umat Islam. Manhaj ini juga mereka guna pakai terhadap semua hukum-hukum al-Qur’an termasuk perkara ibadah, sehingga apa yang dipraktikkan pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam tidak semestinya dipraktikkan dalam bentuk yang sama pada zaman kini. Terhadap umat Islam seluruhnya yang tetap beristiqamah kepada ayat-ayat al-Qur’an, aliran Islam Liberal menyindir mereka sebagai “para penyembah teks” semata-mata.


Selain itu aliran Islam Liberal juga memiliki takwilan tersendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza daripada pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Mereka menggariskan formula membaca al-Qur’an dengan metodologi yang baru. Hasilnya, aliran Islam Liberal berpendapat bahawa malaikat dan syaitan tidak wujud sebagai makhluk yang tersendiri melainkan ia adalah sikap baik dan buruk yang wujud saling bertentangan dalam setiap jiwa manusia (the good and evil sides of man). Syurga dan neraka tidak wujud melainkan ia adalah kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat juga tidak wujud melainkan ia adalah fasa manusia untuk berubah dari satu tingkatan ke tingkatan lain yang lebih matang dan sempurna. Cerita-cerita al-Qur’an tentang para Rasul, Nabi dan umat terdahulu sebenarnya hanyalah strategi demi keberkesanan dakwah. Para Rasul, Nabi dan umat terdahulu ini sebenarnya tidak wujud secara realiti. Sementara keimanan kepada Qadar dan Qada’ serta takdir tidak wujud, ia hanyalah salah tafsir umat terdahulu terhadap teks-teks al-Qur’an.

Mempercayai malaikat, syaitan, syurga, neraka, hari akhirat, cerita umat terdahulu serta takdir secara zahir hanyalah tahayul yang menghalang kemajuan umat. Selagi mana umat percayakan unsur-unsur tahayul tersebut, selagi itulah mereka akan terhalang daripada mencapai kejayaan yang bersifat hakiki. Demikianlah beberapa takwilan dan manhaj sesat aliran Islam Liberal yang mereka bangunkan atas formula Re-reading the Qur’an.



Manhaj Islam Liberal terhadap Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam


Sifat Nubuwah yang dimiliki oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam tidak lain hanyalah kemampuan seorang manusia untuk memimpin manusia yang lain (leadership values). Oleh itu siapa sahaja yang boleh memimpin boleh mengambil alih sifat nubuwah seumpama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam dalam memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Demikian dakwa aliran Islam Liberal.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam – lanjut aliran Islam Liberal – hanyalah manusia biasa yang lazimnya berbuat silap dan benar. Namun umat Islam selama ini berpura-pura bahawa baginda adalah manusia yang sempurna, sehingga mereka juga – selain daripada menyembah teks al-Qur’an – juga menyembah Rasulullah. Yang benar peribadi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam tidak lebih hanyalah sebagai manusia biasa yang boleh dipuji dan dikritik. Justeru umat dituntut bersikap kritis untuk menimbang kelebihan dan kekurangan baginda.

Oleh kerana itulah kita dapati tokoh-tokoh aliran Islam Liberal – termasuk di Malaysia – tidak segan-segan untuk mengkritik Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Di antara mereka ada yang menuduh baginda bernafsu seks yang kuat dan memiliki banyak perempuan simpanan (gundik). Ada juga yang menuduh baginda bukanlah pemimpin negara Islam tetapi hanyalah sekadar pegawai daerah (DO – District officer) semata-mata.

Adapun sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, maka tanpa ragu aliran Islam Liberal berpendapat ia hanya releven untuk masyarakat arab zaman baginda, ketinggalan untuk dipraktikkan pada zaman kini. Justeru aliran Islam Liberal memandang orang yang berjanggut, bersiwak, memakai serban, jubah dan sebagainya sebagai orang yang ketinggalan zaman lagi tertutup mindanya. Apabila minda mereka tertutup, sudah tentu tertutup juga pintu-pintu kejayaan sehingga bila-bila.

Merujuk kepada beberapa peristiwa kemukjizatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, aliran Islam Liberal berpendapat ia hanya kisah-kisah yang direka cipta dan dibesar-besarkan (exaggeration) oleh orang-orang selepas kewafatan baginda. Contohnya ialah peristiwa Isra’ dan Mikraj, ia hanyalah mimpi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam yang dibenarkan ke alam realiti oleh orang-orang yang taksub terhadap baginda.



Manhaj Islam Liberal terhadap hadis-hadis.


Aliran Islam Liberal memiliki beberapa manhaj terhadap hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, sekalipun yang termuat di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim. Antaranya:

Hadis-hadis tersebut tidak berasal daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam melainkan hanya ciptaan orang-orang yang ingin menjaga dan memanfaatkan kepentingan diri mereka.

Hadis-hadis yang benar hanyalah yang bersifat mutawatir manakala hadis ahad bersifat samar-samar dan tidak menjadi tuntutan ke atas umat untuk berpegang kepadanya.

Hadis-hadis yang mutawatir sekalipun, kebenarannya hanya dalam konteks kehidupan masyarakat Arab pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Ia tidak lagi releven untuk zaman kini kecuali sebagai kajian sejarah peradaban pada zaman baginda.

Hadis-hadis tentang azab kubur, suasana hari akhirat (Padang Masyar, Titian Sirat, Pengadilan dsbgnya), Isra’ dan Mikraj, Dajjal, Penurunan Nabi Isa, fitnah-fitnah akhir zaman dan sebagainya hanyalah cerita rekaan para perawi hadis untuk memberi pengaruh kepada orang ramai pada zaman mereka. Sekalipun hadis-hadis ini tercatit di dalam kitab-kitab hadis sahih, pada hakikatnya ia hanyalah cerita-cerita tahayul semata-mata.

Kesilapan paling besar yang dilakukan oleh para imam hadis adalah mereka hanya memberi tumpuan kepada para perawi hadis dan tidak kepada matan hadis. Seandainya mereka memerhati dan memberi kritik ke atas matan hadis, nescaya cerita-cerita tahayul sepertimana di atas tidak akan mereka masukkan dalam kitab-kitab mereka.

Demikianlah beberapa manhaj aliran Islam Liberal ke atas hadis-hadis dan para imam yang meriwayatkannya.



Manhaj Islam Liberal terhadap ilmu-ilmu Islam.


Ilmu-ilmu Islam seperti usul tafsir, usul fiqh, usul hadis, al-Jarh wa al-Ta’dil (kritik perawi hadis) dan sebagainya yang selama ini merupakan sesuatu yang baku di dalam disiplin ilmu-ilmu Islam diremehkan oleh aliran Islam Liberal sebagai buatan manusia (man made) yang tidak sunyi daripada pelbagai kecacatan dan kesalahan. Oleh itu aliran Islam Liberal tidak menghormati ilmu-ilmu di atas, jauh sekali daripada menggunakannya dalam tafsiran mereka untuk “membuka dan membebaskan” Islam.

Atas dasar ini juga aliran Islam Liberal membuka semula perbincangan, tafsiran dan ijtihad terhadap perkara-perkara yang sudah muktamad (qath‘iy) kedudukannya di dalam agama. Mereka mendakwa apa yang selama ini dianggap qath‘iy hanya relatif kepada pendapat manusiawi. Yang benar – menurut aliran Islam Liberal – perkara-perkara yang dianggap qath‘iy tersebut masih terbuka dan bebas kepada pelbagai kemungkinan dan maksud. Atas kepelbagaian ini mana-mana pihak tidak boleh mendakwa pendapatnya sahaja yang benar, bahkan semua pendapat adalah benar tanpa mengira sebesar mana luasnya jurang pendapat tersebut.

Senada dengan itu, aliran Islam Liberal juga tidak menghormati ulama-ulama dunia Islam daripada dahulu sehingga kini. Pada mereka ulama-ulama tersebut hanyalah manusia biasa yang dibelenggui dengan tafsiran jumud akibat daripada “penyembahan mereka terhadap teks dan kaedah-kaedah usul yang mereka cipta sendiri.” Oleh itu bukanlah satu keasingan apabila tokoh-tokoh aliran Islam Liberal secara terbuka menolak atau merendahkan pendapat seseorang ulama dengan alasan “Itu hanya perkataan ulama yang boleh kita terima atau tolak.”



Manhaj Islam Liberal terhadap hukum-hukum fiqh.


Aliran Islam Liberal memiliki kaedah usul tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum fiqh, iaitu yang diambil adalah tujuan hukum dan bukan bentuk hukum. Bagi mereka, tujuan hukum adalah menjaga kemaslahatan manusia. Justeru bentuk hukum boleh diubah-ubah asalkan ia dapat menjaga kemaslahatan manusia sesuai dengan zaman yang mereka hidup.

Atas dasar ini, aliran Islam Liberal tidak segan-segan untuk merubah bentuk hukum yang sedia tertera di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sebagai contoh, pembahagian harta faraid boleh diubah suai kepada apa yang ‘adil’ antara ahli waris, hak suami menjatuhkan talak diangkat manakala kes-kes penceraian hanya boleh diputuskan oleh hakim mahkamah, perkahwinan poligami dilarang, hak persaksian wanita dalam kes-kes jenayah adalah sama dengan lelaki, kes jenayah (hudud) boleh diubah suai bentuk hukumannya kepada peradaban sezaman – malah – asalkan sesebuah negara itu memiliki hukuman jenayah tersendiri ia sudah dianggap menepati tuntutan agama, arak tidak haram selagi peminumnya tidak mabuk, masa ibadah (solat, haji, puasa) boleh diubah suai kepada masa yang selesa untuk masing-masing individu dan pelbagai lagi.

Contoh paling masyhur dalam usaha aliran Islam Liberal untuk membuka dan membebaskan tafsiran hukum fiqh Islam ialah dalam bab aurat wanita. Di mana sahaja wujud aliran Islam Liberal, akan wujud juga penafsiran semula ke atas batas aurat wanita. Ringkasnya, aliran Islam Liberal mendakwa bahawa menutup aurat – khasnya memakai tudung – hanyalah peradaban masyarakat arab di zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Dalam abad-abad awal selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, bentuk pakaian bertudung dan menutup tubuh badan seluruhnya telah menyelinap masuk ke dalam syari‘at Islam sehingga dianggap sebagai salah satu kewajipan agama. Kewajipan yang sebenar – dakwa Islam Liberal – adalah apa sahaja bentuk pakaian yang dianggap sopan oleh masyarakat selari dengan tuntutan zaman dan peradaban

 
 
Bahaya Islam Liberal



Jika sebelum ini kaum Yahudi dan Nasrani telah mengubah ajaran-ajaran agama mereka, maka kini kita juga ada sebahagian umat beraliran Islam Liberal yang mengubah ajaran-ajaran Islam. Jika kita mengkaji secara mendalam tentang manhaj aliran Islam Liberal sepertimana yang disenaraikan di atas, mudah untuk disimpulkan bahawa mereka adalah sekelompok manusia yang menyembah akal dan mempertuhankan peradaban Barat dalam beragama. Mereka ingin bebas daripada penjajahan dan kemunduran, namun sayang sekali yang bebas hanyalah tubuh badan manakala pemikiran mereka masih terjajah dan mundur menjadi hamba kepada negara-negara Barat. Mereka ingin menjadi moden padahal kemodenan mereka hanya tiruan kepada model negara-negara Barat yang pada asalnya tidak mengkehendaki apa-apa kebaikan kepada mereka. Apakah erti kemodenan yang diikut-ikut jika ia mengorbankan maruah dan harga diri?

Mereka mencari kejayaan bukan dengan mengikuti manhaj yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala tetapi dengan manhaj mengikuti orang-orang bukan Islam. Dengan cara ini mereka berharap memperoleh kekuatan dan kemuliaan padahal kekuatan dan kemuliaan tersebut hanyalah milik Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini sebenarnya merupakan salah satu ciri orang munafik sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah. [al-Nisa’ 4:138-139]

Malah tidak berlebihan jika dikatakan bahawa aliran Islam Liberal sebenarnya ingin mencipta agama tersendiri, lalu menumpang sekaki di atas agama Islam demi mencari kekuatan dan kedudukan. Yang mereka inginkan bukanlah agama Allah dan Rasul-Nya tetapi agama akal dan peradaban manusia. Terhadap golongan seperti ini Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. [surah ‘Ali Imran 3:85]

Yang benar kita umat Islam yang beriman sama ada lelaki atau perempuan, tidak boleh mengubah apa-apa ketentuan yang telah dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Barangsiapa yang menukar, menambah, mengurang, menyeleweng dan sebagainya, mereka tergolong dalam orang-orang yang sesat sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzab 33:36]

Kejayaan tidak diukur berdasarkan nalar akal atau peradaban kaum lain tetapi diukur dengan nilai ketaatan kepada syari‘at Allah dan Rasul-Nya. Demikian itulah sikap orang-orang beriman yang berjaya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat", dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. [al-Nur 24:51]



Di mana dan siapa tokoh Islam Liberal?



Aliran Islam Liberal wujud hampir di mana jua. Nama mereka mungkin berbeza-beza, bahkan mungkin tindak dikenali dengan nama tertentu. Akan tetapi manhaj mereka tetap sama iaitu membuka dan membebaskan tafsiran Islam demi mencapai kejayaan ala kebaratan. Apabila menyebut tentang tokoh-tokoh aliran Islam Liberal, terdapat satu kesamaan di antara mereka semua – iaitu mereka pernah mendapat didikan di negara Barat dan/atau pernah berkhidmat di mana-mana institusi pengajian Barat. Pengalaman ini menyebabkan mereka amat cenderung kepada apa sahaja yang berasal dari Barat tanpa memisahkan antara yang baik dan salah.

Di antara tokoh-tokoh aliran ini yang masyhur di Timur Tengah adalah Rifa‘at Bik al-Thantawi, Thaha Husein, Ali ‘Abd al-Raziq, Mahmud Abu Rayya, Ahmad Amin, Hasan Hanafi, Farag Foudah, Naser Abu Zaid, ‘Athif al-Iraqi, Nawwal al-Sa’dawi dan sebagainya. Pendapat tokoh-tokoh aliran Islam Liberal di atas banyak yang telah dijawab dan ditolak oleh tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah di Timur Tengah, bahkan sebahagian daripada mereka telah ditarik balik ijazah kelulusan oleh universiti-universiti tempat asal pengajian mereka. [lebih lanjut rujuk buku Pembaruan Islam dan Orientalisme dalam Sorotan oleh Dr. Daud Rasyid (Akbar Media, Jakarta 2002), ms. 20-45]

Tokoh-tokoh ini melahirkan banyak anak murid tersendiri yang bergiat aktif menyebarkan dakyah Islam Liberal sehingga hari ini. Tidak kurang juga adalah tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang bangun menjawab dan menolak mereka. Antara yang aktif ialah Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, semoga Allah memeliharanya, di mana antara lain beliau pernah menulis:

“Di antara masalah paling penting yang sering saya peringatkan dalam beberapa buku yang saya tulis adalah berkenaan usaha musuh-musuh pemikiran Islam yang menciptakan keraguan terhadap ajaran-ajaran agama Islam yang sudah dapat diyakini kebenarannya tanpa ragu (musallamaat), dan berusaha mengubah perkara-perkara yang diyakini (yaqiniat) kebenarannya dan pasti menjadi perkara-perkara yang tidak pasti dan hipotetif (zhanniaat), serta hal-hal yang pasti dan kuat (qath'iat) menjadi tidak pasti dan mengandung pelbagai kemungkinan (muhtamalaat), yang dapat diambil atau ditolak, ditarik atau dilepas, dan dapat mengikuti pendapat kanan-kiri.

Sudah menjadi kejayaan yang amat besar jika mereka mampu menggoncang ajaran-ajaran agama yang tsabit lagi muktamad atau menyerangnya agar dapat dilenyapkan sehingga tidak menjadi sesuatu yang menghalang mereka saat mereka ingin menghancurkan benteng umat Islam atau setidaknya, menerobos pagarnya.

Pada zaman sekarang ini kita dapati ada orang yang meragukan keharaman khamar atau riba, atau tentang bolehnya talak dan berpoligami dengan syarat-syaratnya. Ada yang meragukan keabsahan Sunnah Nabi s.aaw. sebagai sumber hukum. Bahkan, ada yang mengajak kita untuk membuang seluruh ilmu-ilmu Al-Qur'an (Ulumul-Qur'an) dan seluruh warisan ilmu pengetahuan al-Qur'an kita ke tong sampah, lalu kemudian memulai membaca al-Qur'an dari nol dengan bacaan kontemporer dengan tidak terikat oleh suatu ikatan apa pun, tidak berpegang pada ilmu pengetahuan sebelumnya, juga tidak dengan kaidah dan aturan yang ditetapkan oleh ulama umat Islam semenjak berabad-berabad silam.

Di antara pendapat mereka adalah bahawa kalangan Ahli Kitab: Yahudi dan Nasrani, bukanlah kelompok kafir. Jika yang mereka maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani bukan kalangan ateis yang mengingkari Tuhan dan wahyu, tentu hal itu benar dan tidak dipertentangkan lagi. Namun jika yang mereka maksudkan itu adalah bahwa mereka (Yahudi dan Nasrani) tidak kafir terhadap agama Muhammad dan risalahnya serta al-Qur'an dan penyifatan kafir yang disematkan kepada mereka itu adalah dengan pengertian seperti ini, tentu klaim seperti itu adalah salah.

Kekafiran Yahudi dan Nasrani adalah sesuatu yang amat jelas terlihat bagi individu muslim yang memiliki ilmu keislaman, walaupun hanya sebesar atom. Hal ini juga sesuatu yang disepakati oleh seluruh umat Islam dari seluruh mazhab dan aliran pemikiran sepanjang masa, baik kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, Syi‘ah, Mu’tazilah dan Khawarij. Demikian juga dengan seluruh aliran umat Islam yang ada pada saat ini: Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, Zaidiyyah, Ja’fariyyah dan Ibadaniyyah, seluruhnya tidak meragui kekafiran Yahudi dan Nasrani serta orang-orang yang tidak mengimani risalah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wassalam. Hal ini merupakan sesuatu yang sudah pasti kebenarannya, baik secara teori maupun praktikal.” [Mauqif al-Islam al-‘Aqdi min Kufr al-Yahud wa al-Nashara, edisi terjemahan Indonesia atas judul Bagaimana Islam Menilai Yahudi dan Nasrani (Gema Insani, Jakarta 2000), ms. 11-13]

Selain itu terdapat juga beberapa tokoh aliran Islam Liberal yang menulis dalam bahasa Inggeris seperti Muhammad Arkoun dan Fazlur Rahman. Di antara mereka wujud juga tokoh seperti Fatima Mernissi yang tidak segan-segan membuat fitnah dan tuduhan palsu ke atas para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam dan para ilmuan Islam demi menjayakan alirannya.

Di Indonesia, tokoh aliran Islam Liberal yang paling menonjol adalah Harun Nasution dan Nurcholis Majid. Daripada mereka lahir ramai lagi tokoh-tokoh baru yang berbilang jumlahnya. Akan tetapi alhamdulillah, para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Indonesia tidak pernah membiarkan mereka selesa dengan dakyah Islam Liberal yang mereka kembangkan. Pelbagai buku dan makalah ditulis untuk menjawab dan menolak manhaj mereka, antaranya:

  1. Koreksi Terhadap Dr. Harun Nasution tentang “Islam Ditinjau dari Berbagai Aspeknya” oleh Prof. H.M. Rasjidi. (Bulan Bintang, Jakarta 1977).
  2. Pembaruan Islam dan Orientalisme dalam Sorotan oleh Dr. Daud Rasyid (Akbar Media, Jakarta 2002) yang merupakan jawapan ilmiah lagi terperinci kepada Nurcholis Majid.
  3. Menelusuri Kekeliruan Pembaharuan Pemikiran Islam Nurcholish Majid oleh Abdul Qadir Djaelani. (Penerbitan Yadia 1994).
  4. Propaganda Sesat Penyatuan Agama oleh Bakr bin Abdullah Abu Zaid. (Darul Haq, Jakarta 2001).
  5. Bahaya Islam Liberal oleh Hartono Ahmad Jaiz. (al-Kautsar, Jakarta 2002).
  6. Islam Liberal: Sejarah, Konsepsi, Penyimpangan dan Jawapannya oleh Adian Husaini dan Nuim Hidayat (Gema Insani, Jakarta 2002).
  7. Mewaspadai Gerakan Kontekstualisasi al-Qur’an: Menanggapi Ulil Absar Abdala oleh Agus Hasan Bashari (As-Sunnah, Surabaya 2003).
  8. Anggapan Semua Agama Benar dalam Sorotan Al-Qur’an oleh Muhammad Thalib (Menara Kudus, Jogjakarta 2003).


Adakah aliran Islam Liberal wujud di Malaysia?



Jika dicermati manhaj aliran Islam Liberal sebagaimana yang penulis senaraikan di atas, mudah untuk dikenal pasti bahawa aliran ini sudah wujud di Malaysia, hanya nama ‘Islam Liberal’ sahaja yang belum wujud. Malah penulis yakin para pembaca sekalian telah dapat mengenali secerah sinaran matahari siapakah tokoh-tokoh aliran Islam Liberal di Malaysia tanpa perlu penulis menyenaraikan nama-nama mereka. Sekalipun tokoh-tokoh tersebut tidak mengemukakan semua daripada manhaj aliran Islam Liberal yang penulis senaraikan di atas, yakinilah dalam masa-masa terdekat ia tetap akan dikemukakan secara bertahap-tahap, one by one.

Satu perkara penting yang perlu diketahui berkenaan tokoh-tokoh ini adalah mereka terdiri daripada generasi baru yang telah belajar daripada kesilapan guru-guru mereka daripada generasi awal. Oleh itu mereka tidak akan mengulangi kesilapan tersebut. Pelajaran utama yang mereka teladani adalah jangan mengemukakan manhaj Islam Liberal secara mendadak dan terus terang. Akan tetapi kemukakannya secara bertahap-tahap dilapik dengan susunan bahasa yang dapat memikat keyakinan para pembaca awam.

Maka bukanlah satu keasingan apabila kita mendapati tokoh-tokoh aliran Islam Liberal di Malaysia lazimnya akan melapik perbahasan mereka dengan kata-kata “tujuan kami hanya untuk membuka fikiran……” , “Kami hanya ingin membebaskan umat yang selama ini dibelenggu oleh tafsiran lama……” , “Dalam bab ini terdapat perbezaan pendapat yang besar……” , “Tidak ada ayat al-Qur’an yang jelas dalam bab ini……” , “Hadis-hadis saling bertentangan sehingga tidak dapat dipastikan kebenaran……” , “Ini bukanlah daripada hal-hal muktamad agama……” , “Kami hanya membanding antara beberapa pendapat yang sedia ada……” , “Perbincangan ini bertujuan meningkatkan kematangan umat dalam beragama……” dan pelbagai lagi yang seumpama.

Perhatikan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat berikut ini dan ambillah iktibar daripadanya:

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya. [al-Baqarah 2:204]

Gerakan Islam Liberal di Malaysia, sekalipun tanpa memakai lencana ‘Islam Liberal’, lebih banyak bersifat meniru apa yang sebelum ini wujud di negara-negara Timur Tengah dan Indonesia. Artikel-artikel bercorak manhaj Islam Liberal yang muncul di akhbar-akhbar harian dan majalah al-Islam sebenarnya hanyalah hujah-hujah lama yang dikemukakan semula dalam bentuk yang baru. Tidak ada idea pemikiran yang tulen melainkan tiruan yang diberikan solekan baru. Sesiapa yang lazim membaca tulisan-tulisan aliran Islam Liberal di Timur Tengah dan Indonesia sejak beberapa dekad yang lepas akan mendapati apa yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh tempatan tidak lain hanyalah ‘lagu lama yang dimainkan dengan tempo baru’.

Malah adakalanya hasil tulisan yang dikemukakan juga diambil terus-terus daripada penulisan tokoh Islam Liberal luar negara. Sebagai contoh, perhatikan artikel Fenomenologi Tudung oleh Nasaruddin Umar yang dikemukakan oleh majalah al-Islam edisi Mac 2004 (ms. 76-78). Nasaruddin Umar ialah salah seorang tokoh terkemuka aliran Islam Liberal di Indonesia. Terdapat beberapa lagi artikel beliau yang boleh dirujuk di laman Jaringan Islam Liberal Indonesia. Perhatikan juga catitan tambahan di akhir artikel tersebut: “Nasaruddin Umar adalah Guru Besar Ilmu Tafsir Universitas Islam Negeri Jakarta dan kini sedang melakukan Post Doctoral Research di SOAS, University of London.” Inilah yang penulis maksudkan beberapa perenggan di atas, bahawa kebanyakan tokoh-tokoh aliran Islam Liberal adalah “mereka yang pernah mendapat didikan di negara Barat dan/atau pernah berkhidmat di mana-mana institusi pengajian Barat.”



Pesan penulis kepada para pembaca



Tiada cara mudah untuk kita menangani aliran Islam Liberal melainkan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu-ilmu agama daripada para tokoh yang ikhlas, jujur dan mendapat petunjuk Allah shallallahu ‘alaihi wassalam. Dengan ilmu-ilmu tersebut kita dapat membezakan antara yang hak dan batil, sekali gus menerangkan apa yang hak dan menjawab apa yang batil.

Pada waktu yang sama hendaklah kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar diberikan hidayah ke jalan yang benar dan pemeliharaan daripada jalan yang sesat. Ingatlah bahawa jalan menuju kebenaran hanya satu manakala jalan menuju kesesatan adalah banyak. Jalan kebenaran adalah apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan pemahaman generasi awal umat (al-Salaf al-Salih) manakala jalan kesesatan adalah apa yang menyelisihinya.

Sumber :

Himpunan Risalah 1 : Membongkar Aliran Islam Liberal
oleh Kapten Hafiz Firdaus bin Abdullah

1 comment:

Dx said...

info yang menarik