17.7.12

"Tarbiyah Harakiyah" : Antara Mitos dengan Realiti

Massa

"Ustaz tu biar dia betulkan diri dia dahulu sebelum dia TARBIYYAH orang lain!," tegas seorang artis popular terhadap seorang personaliti tv yang menukarkan 360 darjah hidupnya kepada perjuangan Islam.

"Aku mendapat TARBIYYAH oleh seorang ustaz yang berusrah dengan Ikhwanul Muslimin di Mesir," kata seorang teman daripada sebuah NGO Islam.

"Kita mestilah menjaga TARBIYYAH diri kita selalu agar ada kekuatan dalam perjuangan ini," kata seorang pimpinan mahasiswa Islam.

"Usrah adalah tunjang TARBIYYAH!," tegas seorang naqibku di alam kampus dahulu.

Fikirku dahulu :

"TARBIYYAH adalah suatu BENDA YANG SUCI!,"

Pengertian

Tarbiyyah   (التربية) berasal daripada Bahasa Arab bererti 'pendidikan'. Menurut etimologi pula, asal kata 'tarbiyyah' ini mampu diterbitkan kepada 3 kata kerja yang berbeza iaitu :
  1. Rabaa-yarbuu  bermaksud namaa-yanmuu (berkembang).
  2. Rabiya-yarbaa bermaksud nasya-a, tara’ra-a (tumbuh).
  3. Rabba-yarubbu bermaksud aslahahu, tawallaa amrahu, sasa-ahuu, wa qaama ‘alaihi, wa ra’aahu, (masing memperbaiki, mengurus, memimpin, menjaga dan memeliharanya (atau mendidik).
 (sumber : http://id.wikipedia.org/wiki/Tarbiyah)

Menurut Dr Ali Abdul Halim Mahmud dalam buku beliau berjudul 'Manhaj Tarbiyyah 'indal Ikhwanul Muslimin' (Perangkat-Perangkat Tarbiyah Ikhwanul Muslimin) mendefinisikan tarbiyah sebagai "suatu cara ideal berinteraksi dengan manusia untuk mengubah mereka dari suatu keadaan kepada keadaan yang lebih baik".

Manakala 'harakiyyah'  (asal perkataan   حركة  ) dalam Bahasa Arab yang bermaksud 'gerakan'. Menurut Allahyarham Ustaz Yahya Haji Othman, mantan ahli Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat dan Murabbi DPP PAS Pusat, 'harakah Islamiyyah' (gerakan Islam) bermaksud 'sebuah pertubuhan, atau jamaah atau parti yang dianggotai oleh orang-orang Islam dan dikendalikan yang mengikatkan diri dengan aqidah Islamiyyah dan qa'idah Islamiyyah (cara-cara) yang telah dituliskan di dalam undang-undang dasarnya (perlembagaan) bahawa al-Qur'an dan as-Sunnah adalah pegangan asasnya dalam semua aspek kehidupan, seperti kemasyarakatan, siyasah (politik- pent), i'tisod (ekonomi -pent), tarbiyyah (pendidikan-pent) dan lain-lain," (Usrah sebagai Tunjang kepada Gerakan Islam: Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2011)

Itulah makna ringkas 'tarbiyyah' dan 'harakiyyah' yang perlu difahami oleh kita.
 

Mungkin pakar Bahasa Arab mampu membahaskan perkataan ini dari sudut makna dan kata terbitan kerana saya tidak berniat membahaskan satu-satu dalam penulisan ini.


Pengalaman

"Ana orang siyasah, bukan tarbiyyah. Tak macam sahabat kita itu, perlu jaga tarbiyyah," kata seorang teman. Sindir temannya daripada AJK Tarbiyah Biro Surau.


Perkataan 'tarbiyyah' selalu diucapkan di dalam setiap mesyuarat dan liqa-liqa (pertemuan-pertemuan) ahli pertubuhan/ jamaah Islam sehingga menjemukan pendengar dan pengucap.


 'Tarbiyyah' juga sering kali menjadi 'senjata' kepada individu-individu tertentu untuk 'menyerang peribadi' orang lain atas nama "ana orang tarbiyyah, enta orang siyasah".  Pening.

Lebih haru, 'tarbiyyah' menjadi mangsa alasan untuk menunjukkan 'kebendulan' dalam gerakerja jamaah dan kelemahan pengurusan dan kepemimpinan seseorang itu atas nama, "Ana orang tarbiyyah. Enta perlulah fahami ana,".
  
Maka, tarbiyyah hanyalah dilihat sebagai 'sesuai' dipraktikkan oleh orang-orang tertentu seperti pimpinan-pimpinan pertubuhan Islam dan individu-individu yang berada di dalam AJK Tarbiyyah.

Itulah permasalahannya andai 'tarbiyyah' dilihat sebagai suatu perkara yang 'suci dan tulus'.

'Tarbiyyah' tidak lagi dilihat sebagai suatu 'keperluan' kepada semua ahli pertubuhan Islam, malah hanyalah eksklusif kepada orang-orang tertentu sahaja.


Tarbiyyah Oh Tarbiyyah!


Tarbiyyah dijelaskan oleh para ulama' haraki merangkumi tarbiyyah ruhiyyah, jasadiyah, thaqafiyah, malah dzatiyah (Ustaz Shuid Din, ahli Dewan Ulama PAS Perak). Namun, penjelasan demi penjelasan itu tidak memberi apa-apa makna andai kita merasakan diri kita 'tidak memerlukan tarbiyyah'.


Apakah tarbiyyah ini?  

Apa yang kufahami : Jaga solat 5 waktu, lazimi solat sunat, jaga bacaan al-Qur'an, memperbanyakkan zikir mengikut sunnah, tambahkan ilmu agama kita, menyemarakkan keimanan kita dengan melazimi akhlaq Islamiyah dalam kehidupan seharian (berbaik sangka, senyum, menghormati orang lain, jujur, amanah dan sebagainya) serta tidak melazimi melakukan dosa-dosa kecil dan meninggalkan terus dosa-dosa besar.

Itulah kaedah 'menjaga tarbiyyah' bagi seorang ahli jamaah Islam. Bahkan, kaedah ini wajib diamalkan oleh mana-mana muslim yang mengimpikan syurga Allah kelak.

Nantinya, kita sebagai ahli jamaah dan gerakan Islam perlu lagi menitik beratkan perkara ini sebelum menyampaikan kewajipan ini kepada orang lain. 


Kesimpulan

Tarbiyyah bukan sahaja penting kepada para murabbi, alim ulama, ustaz-ustaz, AJK Tarbiyyah, nuqaba, malah seluruh ahli jamaah Islam wajib tarbiyyah diri dalam kehidupan seharian. Janganlah lagi kita lihat tarbiyyah dalam kerangka yang salah. Bertindaklah rasional untuk kebaikan kita bersama.
  

No comments: